Polis tumpas sindiket edar dadah di Penjara Simpang Renggam


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mengulas tentang sindiket penyeludupan dadah kepada banduan di Penjara Simpang Renggam yang ditumpaskan polis baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2019.

POLIS menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah kepada banduan di Penjara Simpang Renggam di Johor, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Haron hari ini.

Katanya sindiket itu beroperasi sejak tahun lalu dan ditumpaskan dengan bantuan Jabatan Penjara baru-baru ini.

Fuzi berkata sepasukan anggota Bukit Aman menyerbu dua premis di Johor dan menahan lima ahli sindiket.

Anggota polis merampas 9 kilogram (kg) methamphetamine, 16kg heroin dan 940 biji pill ekstasi.

“Kita mendapati sindiket ini aktif menyeludup dadah ke Penjara Simpang Renggam pada tahun lalu.

“Nilai rampasan dadah itu dianggarkan kira-kira  RM814,000. Kita turut merampas dua buah kereta dan tiga buah motosikal.

“Sejumlah barangan kemas dan wang berjumlah RM22,000 turut dirampas. Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 26 dan 30 tahun,” katanya.

Tambahnya kelima-lima suspek akan direman sehingga 19 Januari untuk membantu siasatan polis.

Sementara itu Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman Mohmad Salleh berkata, empat suspek dari sindiket yang sama telah ditahan polis di Johor pada tahun lalu.

Katanya mereka berperanan untuk memastikan dadah boleh diseludup masuk ke penjara, dipercayai mendapat bantuan pegawai penjara.

“Sindiket ini aktif sejak 2017 dan pada tahun lalu kita menahan empat daripada ahli kumpulan itu.

“Kita percaya mereka menyeludup dadah ke penjara dengan bantuan pegawai dan warden penjara, tetapi kita masih menyiasat perkara ini,” katanya.

Ditanya sama ada penahanan dibuat ke atas mana-mana pegawai penjara Simpang Renggam, beliau enggan mengulas lanjut. – 14 Januari, 2019.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen