Lebih 6,000 tangkapan berkaitan dadah dalam tempoh 10 hari pertama 2019


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mendedahkan nilai dadah yang disita dalam tempoh 10 hari pertama 2019 daripada suspek mencecah RM1.9 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2019.

POLIS menangkap seramai 6,197 individu bagi kesalahan berkaitan dadah dalam tempoh 10 hari pertama tahun ini, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Beliau juga mendedahkan nilai dadah yang disita daripada suspek mencecah RM1.9 juta.

“Daripada 6,000 individu, 5,807 adalah penduduk tempatan dan 390 lagi warga asing. Penangkapan itu dibuat dari 1 Januari hingga 10 Januari tahun ini.

“Nilai dadah yang dirampas mencecah RM1.9 juta setakat ini. Kami merampas 11kg methamphetamine, 4kg Ketamine, 0.22kg Eramine 5, 1.9kg pil Yaba, 4kg ecstasy.

“Bagi dadah tradisional, kami merampas 2.5kg ganja dan 13kg heroin,” kata Fuzi dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Satu rampasan methamphetamine lebih besar dibuat selepas tempoh 10 hari, pada Sabtu lalu di Perak, sebanyak 569kg dengan nilai RM28.47 juta.
Fuzi berkata tiga orang ditangkap dalam operasi itu.

“Operasi di Perak dijalankan Sabtu lalu dan kami  menahan tiga lelaki berumur 39 hingga 49 tahun.”

“Kami menemui 569kg methamphetamine daripada sindiket itu dan jumlahnya ialah RM28.47 juta dan turut merampas dua kenderaan dan wang tunai RM1,768,” kata Fuzi.

Di Johor, satu lagi pasukan polis dari Bukit Aman menyerbu dua premis dan menahan lima anggota sindiket.

Polis merampas 9kg methamphetamine, 16kg heroin dan 940 pil ekstasi daripada sindiket itu.

“Nilai dadah dianggarkan sekitar RM814,000 dan kami juga merampas dua kereta serta tiga motosikal.”

“Beberapa barang kemas dan wang tunai sebanyak RM22,000 juga dirampas. Semua lelaki yang ditangkap berusia antara 26 dan 30 tahun, “katanya, sambil menambah mereka ditahan reman sehingga 19 Januari untuk membantu siasatan polis. – 14 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen