KEKAYAAN negara harus dibahagikan sama rata di kalangan semua kaum di Malaysia, dan bukan hanya diberikan kepada orang Melayu dan Bumiputera, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Bercakap di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, Dr Mahathir berkata sesebuah negara tidak boleh berjaya jika ada rakyat lain ketinggalan.
“Tiada gunanya menjadi negara kaya jika kekayaan tidak dikongsi atau hanya diberikan kepada sekumpulan orang tertentu.
“Kita perlu berkongsi apa yang kita ada bersama kerana kita tidak mahu dilihat sebagai negara yang kaya tetapi gagal menjaga minoriti. Kita tidak boleh cakap berjaya jika ada yang masih ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata negara yang mempunyai jurang besar antara golongan miskin dan kaya banyak yang berakhir dengan rusuhan.
“Itulah sebabnya kita perlu memberi tumpuan kepada menangani kemiskinan sosial semua kaum,” katanya.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan pengagih kekayaan sama rata atau sekurang-kurangnya ke tahap yang boleh diterima oleh semua komuniti di negara ini,” katanya.
“Tiada gunanya jika hak sama rata hanya terhad kepada mengundi kerajaan. Jika kita tidak dapat mencapai kesamarataan dalam status, keselesaan, dan kehidupan yang aman dan sejahtera bagi semua kaum, maka kita tidak boleh dilihat sebagai berjaya membangunkan negara,” katanya.
Justeru, rakyat perlu belajar daripada sejarah apabila mereka yang terdahulu memutuskan untuk berkongsi kuasa apabila negara mencapai kemerdekaan, katanya.
Beliau juga mengingatkan kepada wawasan pemimpin Malaysia masa dahulu, apabila mereka memikirkan untuk menyatukan setiap warganegara di bawah satu bangsa.
Bagaimanapun, ia tidak berlaku kerana semua orang mahu mengekalkan identiti sendiri, katanya.
“Kami berjuang untuk kemerdekaan melawan British lebih 60 tahun lalu dan ketika kita mendapat kemerdekaan, pemimpin kita dahulu bersetuju untuk memberi setiap daripada kita kewarganegaraan tanpa mengira dari mana kita datang.
“Bukan hanya itu, parti-parti politik bersetuju untuk membenarkan setiap orang daripada kita mengambil bahagian dalam pembangunan negara. Kita bersetuju untuk tidak menjadi musuh dan menjadi satu.
“Itu adalah sejarah yang kita semua patut tahu dan kerana kebijaksanaan pemimpin dahulu, kita mencapai kemerdekaan tanpa rusuhan.
“Tetapi hari ini, perpaduan yang kita harapkan belum lagi menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata harapan untuk melihat satu bangsa bercakap bahasa yang sama dan berkongsi budaya yang sama tidak berlaku kerana “setiap orang mahu mengekalkan identiti mereka sendiri”.
Oleh itu, kita perlu menerima kita tidak boleh memiliki satu negara bangsa di Malaysia, kata Dr Mahathir.
Namun, perdana menteri memuji rakyat Malaysia kerana dapat hidup harmoni selama setengah dekad tanpa perlu mengalami rusuhan kaum.
Beliau menambah ini juga disebabkan oleh kemampuan pemimpin lama yang berjaya mentadbir negara dengan kebijaksanaan dan berilmu.
“Kita bernasib baik mencapai kemerdekaan tanpa peperangan etnik, tidak seperti negara lain di Afrika dan Myanmar.
“Kita dalam keadaan baik apabila dilepas. Kita ditadbir oleh orang yang mempunyai pengetahuan tentang bagaimana untuk mentadbir sebuah negara. Mereka ini dilatih oleh Inggeris dan tahu bagaimana untuk melakukannya.
“Kita hanya mempunyai satu rusuhan perkauman pada 1969 dan ini satu-satunya sejarah yang gelap. Jadi, kita perlu mengambil tauladan supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama sekali lagi,” katanya. – 14 Januari, 2019.
Komen