SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo berkata hari ini beliau akan meminta Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman memastikan pembunuh wartawan Jamal Khashoggi bertanggungjawab terhadap jenayah mereka.
Diplomat tertinggi AS itu yang dalam lawatan ke Timur Tengah bercakap sebelum lawatan sensitif politik ke Arab Saudi, yang berdepan pemerhatian antarabangsa yang intensif berhubung pembunuhan Khashoggi di dalam konsulatnya di Istanbul.
“Kami akan terus mengadakan perbincangan dengan putera mahkota dan Arab Saudi mengenai usaha memastikan tanggungjawab sepenuhnya dan lengkap berhubung pembunuhan Jamal Khashoggi yang tidak dapat diterima,” kata Pompeo kepada pemberita pada sidang akhbar di Qatar.
“Jadi, kami akan terus membincangkannya dan memastikan kami mempunyai semua fakta supaya mereka dipertanggungjawabkan, sudah pasti oleh Arab Saudi tetapi juga oleh AS.”
Pompeo dijangka ke Arab Saudi hari ini sebagai sebahagian daripada lawatan lapan hari ke Amman, Kaherah, Manama, Abu Dhabi, Doha, Riyadh, Muscat dan akhirnya, Bandaraya Kuwait.
Beliau bercakap kepada wartawan di Doha selepas bertemu rakan sejawatannya dari Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani.
Beliau akan bertemu dengan emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad al-Thani, sebelum ke Arab Saudi. – AFP, 14 Januari, 2019.
Komen