Datuk bandar Poland parah ditikam semasa acara kutipan dana


Pasukan paramedik memberikan bantuan kepada Pawel Adamowicz yang terbaring selepas cedera ditikam seorang lelaki bersenjatakan pisau pada Ahad. – Gambar EPA, 14 Januari, 2019.

SEORANG lelaki bersenjatakan pisau menyerang datuk bandar di bandar pelabuhan Poland, Gdansk pada Ahad di depan ratusan orang ramai dalam satu acara amal, kata polis dan media.

Paramedik memberi bantuan pernafasan kepada Pawel Adamowicz, 53, di tempat kejadian sebelum membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan seterusnya menjalani pembedahan.

“Saya difahamkan doktor berjaya memulihkan semula fungsi jantung Encik Adamowicz yang cedera parah. Ada harapan tetapi keadaannya masih serius,” kata Presiden Poland, Andrzej Duda di Twitter.

Rakaman video serangan yang disiarkan di YouTube menunjukkan penyerang meluru ke arah podium.

Selepas menikam datuk bandar, beliau merampas mikrofon dan mendakwa dipenjara secara salah oleh kerajaan pusat sebelum ini, Civic Platform dan diseksa.

“Itulah sebabnya Adamowicz mati,” kata penyerang itu.

Parti Civic Platform menyokong pemilihan semula Adamowicz pada pilihan raya perbandaran 2018.

Serangan itu berlaku semasa acara kutipan amal bagi pembelian peralatan perubatan dan penyerang berjaya ditumpaskan dengan pantas oleh pengawal keselamatan dan ditangkap.

Jurucakap polis Gdansk berkata lelaki yang ditahan berusia 27 tahun dan tinggal di bandar itu.

Menurut media Poland, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara lebih lima tahun kerana empat serangan bersenjata di beberapa bank di Gdansk.

“Serangan terhadap nyawa dan kesihatan Datuk Bandar Gdansk mesti dikutuk dengan tegas,” kata Perdana Menteri Poland Mateusz Morawiecki di Twitter.

Menteri Dalam Negeri Joachim Brudzinski mengutuk serangan itu sebagai “tindakan kejam yang tidak dapat difahami”. – AFP, 14 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen