Najib dijangka turun padang bantu kempen BN di Cameron Highlands


Chan Kok Leong

Idea Umno Pahang untuk membawa bekas perdana menteri Najib Razak untuk berkempen bagi Barisan Nasional di PRK Cameron Highlands dijangka mampu membantunya mendapatkan undi Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2019.

BEKAS pengerusi Barisan Nasional (BN) Najib Razak dijangka berkempen di negeri kelahirannya di Pahang pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Bapa Najib yang sinonim dengan penempatan Felda, dijangka membantu mendapatkan undi Melayu untuk BN.

Orang Melayu membentuk majoriti pengundi di sana, iaitu 11,010 (34.4%) daripada 32,008 pengundi.

Dalam pilihan raya yang lalu, BN memperoleh 1,290 undi dan PAS (1,233) membolot 87% daripada jumlah 2,888 undi di tiga penempatan Koyan di sana, manakala Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh 329 undi.

Menurut Pengerusi Koperasi Koyan 2 Kamarul Ariffin Mat Som, bekas perdana menteri itu akan berada di Cameron Highlands dari 18 hingga 20 Januari.

“Masa beliau akan dibahagikan antara Tanah Rata dan Jelai,” kata Kamarul kepada The Malaysian Insight.

Najib dijangka bermalam di Tanah Rata dan Sungai Koyan.

Generasi kedua peneroka Felda Koyan 2, Mohd Fadzil Suparman berkata ia adalah idea Umno Pahang adalah untuk membawa Najib turun padang.

Kerusi DUN Jelai kini dipegang oleh Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan berada di bawah kawasan persekutuan Cameron Highlands.

Ini akan menjadi kali kedua Najib berkempen untuk BN dalam PRK susulan kekalahan gabungan itu dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Kali pertama berada di Sungai Kandis pada Julai lepas, yang menyaksikan beliau membantu kempen calon Umno Lokman Noor Adam.

Penyokong Barisan Nasional yang hadir semasa penamaan calon bagi PRK Cameron Highlands pada Sabtu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2019.

Bagaimanapun, setiausaha agung parti, Annuar Musa kemudian menafikan ia sebahagian daripada strategi pilihan raya.

Jentera pilihan raya BN di Cameron Highlands belum mengulas mengenai lawatan Najib minggu depan.

Walaupun berdepan dengan 39 pertuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, Najib masih popular di penempatan Felda Sungai Koyan, kata Fadzil.

“Kami tidak tahu apa yang dilakukannya, tetapi terdapat sedikit masalah di Felda ketika beliau menjadi perdana menteri.

“Harga kelapa sawit RM600 bagi setiap satu tan pada Jun lepas, tetapi sekarang hanya RM400,” kata Fadzil, yang menanggung enam ahli keluarga dengan pendapatan kelapa sawitnya.

“Pada harga RM400, saya hanya mampu mendapat sekitar RM1,400 sebulan,” kata lelaki berusia 49 tahun itu, yang terpaksa memotong langganan Astro tahun lepas untuk menjimatkan RM140 sebulan.

Katanya, harga setandan kelapa sawit kadang kala mencecah serendah RM310 bagi setiap satu tan.

Walaupun berdepan tuduhan jenayah, Najib berterusan berusaha mendapatkan sokongan rakyat.

Di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam, pada Sabtu, pemimpin berusia 65 tahun itu memberitahu semasa sesi bertemu rakyat bahawa rakyat Malaysia merindui kepimpinannya dan terus mendapatkan bantuannya, walaupun beliau tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya sekarang.

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertandingan antara calon BN Ramli Mohd Noor, M. Manogaran (PH), dan dua calon Bebas Wong Seng Yee dan Sallehuddin Ab Taib.

Undian akan diadakan pada 26 Januari. – 14 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen