UNIVERSITI Al-Azhar Mesir pada hari Ahad berkata pihaknya membuang seorang pelajar wanita selepas muncul dalam video yang memaparkan wanita berkenaan sedang memeluk seorang lelaki.
Pihak universiti mendakwa pelajar tersebut telah merosakkan reputasi universiti.
Video yang tular awal bulan ini menunjukkan seorang lelaki muda membawa sejambak bunga dan berlutut di hadapan seorang wanita dan kemudian memeluknya dalam video yang dipercayai sebuah permintaan untuk menjadikan wanita itu sebagai isteri.
Video itu tidak dirakam di kawasan universiti Al-Azhar - sebuah pusat pendidikan tertinggi penganut Islam Sunni di Mesir - tetapi di satu lagi pusat pendidikan tinggi, iaitu Universiti Mansoura yang terletak di bahagian utara negara itu.
Walau bagaimanapun, majlis disiplin Universiti Al-Azhar di Mansoura pada hari Sabtu “memutuskan untuk membuang gadis muda itu,” kata jurucakap universiti, Ahmed Zarie kepada AFP.
Beliau berkata video itu telah menyebabkan “bantahan awam” dan keputusan universiti untuk membuangnya berikutan pelajar berkenaan menunjukkan “imej buruk” Universiti Al-Azhar, yang mengasingkan jantina lelaki dan perempuan dalam sesi pembelajaran.
Beliau berkata pelukan antara lelaki dan wanita yang belum berkahwin melanggar “nilai dan prinsip masyarakat”.
Bagaimanapun, pelajar berkenaan masih boleh merayu terhadap keputusan pembuangan itu, kata Zarie.
Lelaki muda dalam video berkenaan juga turut dikenakan sekatan oleh universiti, kata jurucakap Universiti Mansoura di samping turut menambah bahawa majlis disiplin universiti akan bersidang pada hari Isnin untuk memutuskan “hukuman” ke atas lelaki itu.
Mesir, negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam, masih dilihat sebagai sebuah masyarakat yang konservatif di rantau itu. – AFP, 13 Januari, 2019.
Komen