Melayu dapat manfaat jika pilihan raya tempatan dilaksana, kata aktivis


Alfian Z.M. Tahir

Thomas Fann berkata, tidak benar dakwaan kononnya orang Melayu akan diketepikan atau orang Cina akan mendapat manfaat daripada pilihan raya majlis tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2019.

ORANG Melayu akan mendapat manfaat daripada pilihan raya tempatan jika ia dilaksanakan, kata Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann, menjawab dakwaan daripada pemimpin politik kononnya masyarakat setempat akan diabaikan jika undi ketiga itu diperkenalkan.

Bercakap dalam sesi forum bertajuk ‘Responsible Citizen and Dialogue’ di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, Fann menegaskan bahawa ahli politik telah menggunakan isu ini untuk mewujudkan kerisauan di kalangan masyarakat.

“Perdana menteri sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa pilihan raya tempatan akan menyebabkan pergolakan, Abdul Hadi dari PAS berkata ia hanya akan memberi manfaat kepada orang Cina. Ini tidak benar dan hanya merupakan alasan untuk mencetuskan persengketaan kaum.

“Hakikatnya terdapat tiga dewan bandaraya, 12 majlis bandaran, 39 majlis perbandaran, dan 94 majlis daerah, sementara lima majlis khas atau majlis tempatan yang diubah suai, namun hanya enam sahaja yang mempunyai populasi di mana orang Cina lebih banyak daripada orang Melayu,” katanya.

Enam majlis itu adalah Ipoh, Kuching Selatan, Iskandar Puteri, Pulau Pinang, Sibu dan Subang Jaya.

“Dengan kata lain 96% adalah penduduk majoriti Melayu, termasuk Petaling Jaya,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, tidak benar dakwaan kononnya orang Melayu akan diketepikan atau orang Cina akan mendapat manfaat daripada pilihan raya tempatan.

Fann juga mengatakan bahawa pilihan raya tempatan masih belum mendapat perhatian daripada orang ramai, terutama orang Melayu, kerana beberapa sebab.

“Tidak ramai yang berminat, kita jalankan pilihan raya tempatan yang terakhir pada 54 tahun lalu, jadi sukar untuk mendapat perhatian sekarang kerana kurang pengetahuan.

“Ia juga disebabkan oleh ketakutan terhadap persengketaan kaum dan kerana keletihan politik, kita memerlukan penyertaan daripada semua rakyat Malaysia untuk menyaksikan ia menjadi kenyataan,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr Wong Chin Huat berhujah bahawa mereka yang menolak idea pilahan raya tempatan menafikan hak orang Melayu untuk memilih pemimpin mereka sendiri.

“Mereka yang menolak pilihan raya takut untuk memperkasa orang Melayu, mereka mahu orang Melayu menjadi lemah dan pada masa yang sama mereka menafikan hak orang Melayu untuk memilih pemimpin mereka sendiri.

“Ini bukan cara melindungi orang Melayu atau melindungi hak-hak Melayu, dan Malaysia tidak akan bergerak maju jika orang Melayu tidak maju,” kata felo Institut Pulau Pinang itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, yang juga salah seorang panelis, memberitahu penonton bahawa pilihan raya tempatan akan meningkatkan penyertaan rakyat dalam tadbir urus tempatan.

“Kita memerlukan penyertaan rakyat kerana ia penting bagi negara kita untuk maju sebagai negara baharu. Pilihan raya (tempatan) itu sendiri akan meningkatkan penyertaan rakyat.

“Dengan adanya penyertaan rakyat, masyarakat akan berkembang. Idea akan berkembang dan kekuatan masyarakat akan meningkat,” katanya.

Sebelum ini, Maria telah merayu supaya PAS menyokong pilihan raya tempatan, dengan mengatakan kaedah semasa di mana ahli majlis bandaran yang merupakan lantikan politik menyebabkan sistem naungan berlaku.

Bulan lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pilihan raya tempatan tidak akan diperkenalkan ketika ini kerana ia akan mewujudkan konflik perkauman dan meluaskan jurang bandar dan luar bandar.

“Tidak ada pilihan raya majlis tempatan. Pilihan raya tempatan boleh menghasilkan keputusan yang salah. Bandar (kawasan) mungkin berbeza, kawasan luar bandar (kawasan) pun akan berbeza.

“Konflik akan berlaku, yang dicetuskan oleh perbezaan kaum dan seumpamanya. Jadi kita tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya. – 13 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen