KETUA Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu kerajaan segera menggubal akta pembiayaan politik bagi memudahkan semua parti politik menguruskan dananya.
Katanya, beliau sudah membangkitkan isu itu dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, susulan isu dana parti yang berbangkit semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu bulan lalu.
“Saya juga tekankan pada Majlis Presiden Pakatan Harapan, kita tak boleh terus kata mereka (akar umbi Bersatu yang meminta dana) ini tak guna. Kita kena faham dari alasan mereka dan penting untuk kita rangka satu akta dana politik yang menyeluruh.
“Kita perlu ada piawaian baru dalam pendanaan politik. Dengan akta ini saya rasa akan ada peluang adil untuk semua yang mahu menyumbang. Individu yang nak bantu pun mereka tahu,” katanya pada sidang media selepas majlis Hari OKU Sedunia di Kuala Lumpur.
Syed Saddiq menjawab soalan mengenai kempen menjatuhkan dirinya sebagai ketua Pemuda Bersatu kerana menegur pimpinan yang memohon kerajaan memberikan kontrak kepada ketua-ketua bahagian untuk mengukuhkan parti.
Pada 9 Julai, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata undang-undang dana politik berkaitan pembiayaan parti-parti di negara ini akan digubal sebagai usaha membanteras amalan rasuah.
Katanya, ia bagi menghalang pemberian wang atau dana daripada ahli dan penyokong parti yang mengharapkan sesuatu sebagai balasan sekali gus menjurus kepada rasuah.
Pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini pernah menggubal draf undang-undang itu melalui Institut Integriti Malaysia di bawah seliaan menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low pada masa itu.
Semasa perhimpunan parti bulan lalu, Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman mencadangkan kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan. Ia bagi memberi dana kepada akar umbi yang tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk membantu masyarakat.
Ucapan Rashid itu menyusul kenyataan Syed Saddiq semasa ucapannya mengingatkan semua ahli parti itu agar tidak membawa budaya meminta kontrak perniagaan dan jawatan ke dalam parti berkenaan.
Teguran Syed Saddiq itu mendapat kritikan beberapa ketua Bahagian dan akar umbi sehingga ada gerakan mahu menjatuhkan Syed Saddiq sebagai ketua sayap pemuda pada pemilihan parti bermula April ini.
Syed Saddiq bagaimanapun berkata setakat ini sudah tiada lagi gerakan untuk menjatuhkannya.
“Saya hormati pandangan mereka…Tapi seperti saya katakan sebelum ini, saya masuk politik untuk bersihkan politik.
“Saya menghormati pandangan mereka walaupun saya tetap berpendirian tegas dalam isu ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Muar. – 13 Januari, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan