Israel dakwa selesai temui semua terowong Hizbullah 


Terowong terbaru, yang ditemui pada hari Sabtu, bermula dari kampung Ramyeh, kira-kira 800 meter dari Israel, kata tentera. – Gambar AFP, 13 Januari, 2019.

ISRAEL mendakwa berjaya membongkar semua terowong rentas sempadan yang digali oleh Hizbullah dari Lubnan dan kini merancang meluaskan operasi mencari dan memusnahkan terowong tersebut, kata seorang jurucakap tentera semalam.

“Kami menemui satu lagi terowong serangan rentas sempadan Hizbullah dari Lubnan ke Israel,” kata Leftenan Kolonel Jonathan Conricus kepada wartawan di samping turut berkata operasi tersebut bermula pada 4 Disember tahun lalu.

“Menurut risikan dan penilaian kami, tidak ada lagi terowong rentas sempadan dari Lubnan ke Israel.”

Terowong terbaru, yang ditemui pada hari Sabtu, bermula dari kampung Ramyeh, kira-kira 800 meter dari Israel, kata tentera.

Ia mencapai beberapa meter ke wilayah Israel, dengan kedalaman 55 meter di bawah tanah. Ia adalah terowong yang paling dalam serta “yang paling panjang dan paling terperinci” dari semua terowong yang didedahkan pihak tentera, kata Conricus.

Terowong terbaru itu adalah yang keenam didedahkan kepada orang ramai dan tentera mengatakan penemuannya menandakan operasi yang digelar tentera “Northern Shield” itu berakhir.

Terowong terakhir tersebut akan dimusnahkan pada beberapa hari yang akan datang.

“Kami sudah mencapai matlamat (untuk mendedahkan dan memusnahkan terowong-terowong dari Lubnan) yang kami sasarkan pada permulaan misi,” kata Conricus.

Conricus berkata tidak ada lagi terowong yang menembusi Israel dari Lubnan tetapi tenteranya masih memantau “kemudahan” yang digali oleh Hizbullah di wilayah Lubnan. – AFP, 13 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen