Tok Batin berkhidmat untuk Umno tetap terima gaji, kata calon DAP


Noel Achariam

Calon Pakatan Harapan dari DAP, M. Manogaran engulas isu Senator Pakatan Harapan Bob Manolan yang didakwa mengugut Tok Batin agar menyokong Pakatan Harapan atau mereka kehilangan gaji. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Januari, 2019.

KETUA-ketua kampung (Tok Batik) Orang Asli di Cameron Highlands akan menerima gaji mereka daripada kerajaan Pakatan Harapan walaupun mereka memegang jawatan dalam Umno, kata M. Manogaran.

Calon DAP untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands itu berkata pemimpin tertinggi Pakatan Harapan sudah memberi jaminan bahawa bayaran gaji itu tetap akan dibuat.

“Tiada larangan buat mereka untuk memegang jawatan dalam parti. Kita tidak boleh menakut-nakutkan mereka kerana memegang jawatan dalam parti.

“Jika mereka mempunyai jawatan sekali pun, mereka layak untuk menerima elaun atau gaji,” katanya selepas melawat perkampungan Orang Asli di Kampung Sg Relong di Menson hari ini.

Manogaran mengulas isu Senator Pakatan Harapan Bob Manolan yang didakwa mengugut Tok Batin agar menyokong Pakatan Harapan atau mereka kehilangan gaji.

Manolan dipercayai berkata Tok Batin perlu setia kepada kerajaan persekutuan yang membayar gaji mereka atau jawatan mereka itu ditamatkan.

Bagaimanapun, Manolan menafikan beliau mengancam tok batin di kawasan tersebut, di samping turut menambah bahawa apa yang dimaksudkan beliau ialah mereka tidak sepatutnya memegang jawatan kerajaan dalam masa yang sama turut memegang jawatan dalam Umno.

Rakaman audio yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini, bagaimanapun, merakam ucapan Manolan yang berkata “Tak sokong, kami buang”.

Manogaran berkata semua Tok Batin boleh mengundi sesiapa sahaja tanpa perlu takut kehilangan kerja mereka.

“Bukan sahaja di Menson, bahkan di seluruh Cameron, mereka akan menerima gaji mereka tanpa sebarang halangan.” katanya lagi. – 13 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen