CHINA akan berusaha menyelesaikan isu pertikaian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini, kata Beijing selepas rundingan berhubung perkara itu dengan Washington sudah bermula pada minggu ini.
Satu delegasi AS menamatkan lawatan selama tiga hari ke Beijing pada Rabu selepas mengadakan pertemuan secara bersemuka buat kali pertama untuk membincangkan isu itu.
Rundingan itu diadakan selepas Presiden Donald Trump dan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping mencapai persetujuan pada Disember lalu untuk menamatkan persengketaan kenaikan tarif selama tiga bulan.
Menteri Perdagangan China Zhong Shan berkata rundingan yang dijalankan itu sudah membina asas untuk menyelesaikan kebimbangan kedua-dua negara berhubung isu perdagangan.
“Kita akan mengendalikan isu pertikaian ekonomi dan perdagangan AS-China dengan baik pada tahun ini,” katanya seperti dilaporkan agensi berita Xinhua.
Zhong berkata Beijing akan turut mempromosikan pelaburan luar, berusaha meluluskan undang-undang pelaburan luar dan meningkatkan taraf sistem resolusinya.
Pembuat dasar China sudah lama menjanjikan pasaran yang lebih terbuka dan luas dengan memberi perlindungan yang lebih baik kepada pelabur luar.
Namun usaha pegawai kerajaan negara itu agak perlahan untuk merealisasikan janji tersebut.
Zhong berkata senarai hitam yang dikeluarkan China iaitu larangan pelaburan dalam industri tertentu, juga akan dikaji semula.
Katanya Beijing akan mengembangkan sektor ekonomi kepada pelaburan luar tanpa memerlukan usahasama daripada syarikat tempatan.
Menteri itu juga secara spesifik menyatakan langkah untuk menggerakan pelaburan luar dalam industri pembuatan dan teknologi tinggi di China.
Usaha untuk mendesak China melaksanakan dasar pembaharuan ekonomi dan membuka lebih banyak ruang bagi kemasukan pelaburan AS merupakan salah satu fokus rundingan antara Beijing dan Washington. – AFP, 13 Januari, 2019.
Komen