Presiden Palestin mahu hukum Hamas


Presiden Palestin Mahmoud Abbas yang mengetuai kerajaan Fatah di Tebing Barat, kurang senang dengan pengaruh Hamas di Gaza. – Gambar EPA, 13 Januari, 2019.

PERPECAHAN di Palestin dilihat semakin meruncing dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila Presiden Mahmud Abbas dipercayai merancang untuk menghukum Hamas bagi mengekang kuasa pergerakan itu di Gaza.

Sumber yang rapat dengan Abbas berkata antara langkah yang akan diambil oleh presiden Palestin itu termasuk membuang staf yang menjaga laluan sempadan Israel dan Gaza, walaupun tindakan itu membuatkan rejim Zionis sukar memasuki wilayah tersebut tanpa berurusan dengan Hamas.

Abbas juga dilapor mahu memotong gaji keluarga banduan Hamas atau menyekat pasport rakyat Palestin di Gaza.

Malah presiden itu mahu membubarkan Parlimen Palestin yang dikuasai Hamas.

Langkah itu dikhuatiri akan membuatkan lebih dua juta penduduk Gaza menderita selepas mereka dikenakan sekatan oleh Israel selain kekurangan bekalan elektrik.

Malah Hamas juga bila-bila masa boleh mencetuskan peperangan baharu dengan Israel.

Penganalisis berkata langkah tersebut boleh meluaskan jurang antara Gaza dan Tebing Barat yang diperintah pergerakan Fatah yang diketuai Abbas.

Hamas dan Fatah bertelagah sejak kedua-dua pihak hampir mencetuskan perang saudara pada 2007, setahun selepas pergerakan yang menguasai Gaza itu mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen.

Sejak itu, Hamas berperang sebanyak tiga kali dengan Israel dan pertempuran keempat dijangka meletus pada bila-bila masa.

Pelbagai rundingan telah dilakukan antara kedua-dua kumpulan Palestin itu tetapi gagal mencapai kata putus untuk menamatkan sengketa.

Paling hampir, usaha Mesir pada lewat 2017 apabila Hamas dan Fatah bersetuju berkongsi kuasa mentadbir Palestin.

Antara syarat perjanjian itu, Hamas berundur dari sempadan Gaza, Mesri dan Israel, bagi membolehkan Fatah kembali mentadbir dan sempadan Mesir dibuka dengan lebih kerap.

Bagaimanapun perjanjian itu tidak bertahan lama.

Pihak Berkuasa Palestin yang diterajui Fatah mengumumkan pihaknya akan berundur dari sempadan Mesir, sekali gus mencetuskan dilema kepada Kaherah membenarkan laluan di sana dibuka dengan Hamas mengambil-alih kuasa kawasan tersebut.

Setakat ini, Hamas menyatakan hasrat untuk mentadbir laluan itu. – AFP, 13 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen