Didakwa bekerja dengan Rusia, Trump bidas siasatan FBI


Presiden AS, Donald Trump memecat pengarah FBI, James Comey pada Mei 2017 kerana gagal menguruskan agensi itu dengan baik. – Gambar EPA, 13 Januari, 2019.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyelar Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kerana menyiasat keputusannya memecat pengarah agensi itu, James Comey pada Mei 2017 yang didakwa dibuat atas pengaruh Rusia.

Trump menyifatkan FBI bertindak tanpa bukti dan alasan kukuh untuk menjalankan siasatan tersebut.

New York Times melaporkan bahawa FBI melancarkan siasatan bagi memastikan sama ada Trump mengundang ancaman terhadap keselamatan negara dan pada masa yang sama menyiasat kemungkinan presiden itu menghalang keadilan dilaksanakan.

FBI bertindak sedemikian susulan siasatan yang dijalankan oleh Peguam Khas Robert Mueller berhubung campur tangan Rusia pada pilihan raya presiden 2016 dan kemungkinan bersekutu dengan pasukan kempen Trump.

Akhbar itu melaporkan, tiada bukti disiarkan secara umum yang menunjukkan Trump berhubung secara rahsia atau menerima arahan daripada Rusia.

Menurut Trump, FBI sebenarnya berang dengan tindakannya memecat Comey, lebih-lebih lagi melibatkan corak kepimpinan buruk Comey dan cara bekas pengarah itu mengendalikan siasatan terhadap Hillary Clinton yang menggunakan sistem pelayan sulit untuk menghantar beberapa emel kerajaan.

“Keputusan saya memecat James Comey merupakan hari terbaik buat Amerika,” kata Trump. – AFP, 13 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen