WANITA muda Arab Saudi yang melarikan diri daripada keluarganya sedang mencari suaka di luar negara dijadualkan mendarat di Kanada pada hari Sabtu selepas berjaya memanfaatkan kuasa Twitter untuk menghindari penghantaran pulang ke negaranya dari Thailand.
Rahaf Mohammed al-Qunun, 18 tahun, dalam perjalanan ke Toronto pada Jumaat apabila Perdana Menteri Justin Trudeau mengumumkan bahawa Kanada akan memberi suaka kepada gadis muda itu.
Pengumuman mengejut Trudeau muncul selepas pihak berkuasa membayangkan bahawa Qunun mungkin akan terbang ke Australia.
“Kanada telah tegaskan bahawa kami akan pertahan hak asasi manusia dan hak-hak wanita di seluruh dunia,” kata Trudeau. “Apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meminta kepada kami untuk memberikan suaka kepada al-Qunun, kami terima.”
Langkah itu dijangka akan terus merenggangkan hubungan Kanada dengan kerajaan Saudi berikutan kritikan Ottawa terhadap Arab Saudi, sehingga mendorong Riyadh untuk mengusir Duta Besar Kanada dan memutuskan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara itu bagi membantah tindakan Canada.
Kanada juga mencetuskan kemarahan Riyadh apabila menuntut “pelepasan segera” aktivis hak asasi yang dipenjarakan termasuk Samar Badawi, adik perempuan seorang penulis blog yang dipenjarakan Raif Badawi, di mana keluarga mereka tinggal di Quebec.
Percubaan Qunun untuk melarikan diri daripada kerajaan ultra-konservatif disifatkan kumpulan hak asasi sebagai suar penentangan terhadap penindasan.
Pihak berkuasa Thailand pada mulanya mengancam untuk mengusirnya selepas Qunun tiba di Bangkok dari Kuwait hujung minggu lalu.
Tetapi dengan bersenjatakan telefon pintar dan dengan cepat membuka akaun Twitter, beliau berjaya memaksa polis imigresen Thailand menyerahkannya kepada penjagaan agensi pelarian PBB itu kerana tandapagar #SaveRahaf memantul di seluruh dunia. – AFP, 12 Januari, 2019.
Komen