PENUTUPAN kerajaan Amerika Syarikat yang menyebabkan 800,000 penjawat awam persekutuan tidak mendapat gaji kerana kemelut antara Presiden Donald Trump dan Demokrat berhubung tembok sempadan Mexico hari ini masuk hari ke-22.
Demokrat enggan meluluskan dana AS$5.7 bilion (RM23.3 bilion) diminta Trump untuk projek tersebut telah melumpukan Washington, dengan presiden terus enggan menandatangani belanjawan untuk pelbagai jabatan kerajaan yang terjejas kerana kemelut itu.
Kesannya, pekerja pelbagai bidang seperti agen FBI, pengawal trafik dan kakitangan muzium tidak mendapat gaji semalam.
Penutupan sebahagian kerajaan itu adalah rekod terlama pernah dicatat setakat tengah malam semalam, mengatasi rekod 21 hari pada 1995-1996 semasa pentadbiran Bill Clinton.
Semalam, Trump mengeluarkan ugutan mengisytiharkan darurat kebangsaan dan mendapatkan dana tanpa kelulusan kongres.
“Saya tak akan buat dalam masa terdekat,” katanya pada mesyuarat di White House.
Trump menyifatkan pengisytiharan kecemasan itu sebagai “jalan keluar termudah” dan berkata Kongres bertanggungjawab untuk meluluskan dana AS$5.7 bilion itu.
“Jika mereka tak buat…saya akan isytiharkan darurat kebangsaan. Saya ada hak mutlak,” tegasnya.
Setakat ini, Trump sudah beberapa kali mencadangkan yang beliau tidak lama lagi akan mengambil tindakan kontroversi itu.
Beberapa minit sebelum itu, sekutu Republikan berpengaruh, Senator Lindsey Graham menulis di Twitter selepas berjumpa Trump: “Tuan presiden, isytiharkan darurat nasional SEKARANG.”
Tidak dapat dipastikan mengapakah Trump berubah fikiran.
Tetapi Trump sendiri mengakui yang mesyuarat di White House bagi membincangkan pengisytiharan darurat berkemungkinan besar akan jadi kemelut undang-undang sehingga ke Mahkamah Agung.
Penentang Trump berkata tindakan dilakukan presiden tentang sempadan melampau bidang kuasanya ditetapkan Perlembagaan dan mewujudkan kecenderungan bahaya dalam pentadbiran. – AFP, 12 Januari, 2019.
Komen