Bekas pengerusi Tourism Malaysia, CEO syarikat bebas dengan jaminan


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi Eksekutif Ancom Bhd dan pemilik portal berita Malay Mail, Siew Ka Wei dan Elizabeth Ken Tze Ying direman pada 9 Januari berhubung siasatan kontrak pelancongan RM100 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2019.

BEKAS pengerusi Tourism Malaysia Siew Ka Wei dibebaskan hari ini selepas ditahan reman selama empat hari berhubung siasat kontrak RM100 juta yang diberikan kepada syarikat swasta sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Siew, yang memiliki portal berita The Malay Mail, dan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat swasta Elizabeth Ken Tze Ying dibebaskan dengan ikat jamin pada pagi ini.

Kedua-duanya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.

Masing-masing dibebaskan hari ini dengan ikat jamin sebanyak RM50,000 seorang.

Sumber di SPRM ketika dihubungi mengesahkan pembebasan mereka tetapi tidak mengulas lanjut.

SPRM menahan Siew, 62, dan Ken, 32, selepas mengambil kenyataan mereka di ibu pejabatnya di Putrajaya pada Selasa.

Kedua-duanya sedang disiasat kerana rasuah berhubung kontrak bernilai RM99.7 juta pada 4 April 2018 ketika Siew menjadi pengerusi Tourism Malaysia.

Siew adalah pengarah urusan kumpulan Nylex (M) Bhd dan CEO Redberry Group, yang memiliki portal berita Malay Mail Online.

Siew, yang dilaporkan rakan rapat bekas perdana menteri Najib Razak, dilantik sebagai pengerusi Tourism Malaysia pada 21 September 2016.

Jun lalu, bekas pengerusi Tourism Malaysia Wee Choo Keong mendedahkan dalam blognya bahawa kontrak bernilai RM99.7 juta “dinilai, dirundingkan dan dimeteraikan dalam satu hari” pada 4 April 2018. – 12 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen