China mohon konsulat di Poland dibenar jumpa kakitangan Huawei


Seorang kakitangan syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei, Wang Weijing ditahan di Poland atas tuduhan mengintip. – Gambar AFP, 12 Januari, 2019.

CHINA memohon pegawai konsulat negara itu diberi kebenaran untuk berjumpa dengan kakitangan Huawei, Wang Weijing, yang ditahan di Poland atas tuduhan mengintip.

Stesen penyiaran CCTV memetik Kementerian Hal Ehwal Luar melaporkan, Beijing sedang memantau perkembangan kes itu dan memohon supaya pegawai konsulatnya dibenarkan melawat Wang secepat mungkin.

Pada masa sama, Kedutaan China di Poland menggesa Warsaw memastikan hak dan kepentingan Wang sentiasa dijaga, selain jaminan keselamatan serta bantuan yang diperlukannya.

Turut ditahan pada Selasa lalu, ialah seorang lelaki warga Poland atas tuduhan yang sama.

“Kedua-duanya disyaki bekerja dengan perkhidmatan kerajaan China dengan tujuan menjejaskan kedudukan Poland,” kata jurucakap perkhidmatan khas Poland, Stanislaw Zaryn.

Zaryn berkata pangsapuri dan pejabat mereka turut digeledah dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan.

Penahanan Wang tamparan terbaru kepada China, selepas ketua pegawai kewangan Huawei, Meng Wanzhou, diberkas di Kanada bulan lalu, atas permintaan Amerika Syarikat, kerana didakwa melanggar sekatan ke atas Iran. – AFP, 12 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen