PUTRAJAYA tidak sepatutnya berbalah dengan firma perkhidmatan kewangan atau agensi penarafan berhubung analisis mereka mengenai prospek ekonomi negara, kata bekas pakar ekonomi Bank Dunia, Lim Teck Ghee, sambil menambah kerajaan sepatutnya memberi tumpuan membuktikan dirinya dalam penggal pertama berkuasa.
Pada Khamis, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyangkal laporan oleh Laporan Penyelidikan Pasaran Nomura Global bahawa defisit fiskal 2018 akan merosot kepada 3.9% daripada KDNK sebagai “tidak benar”.
Guan Eng juga mengecam kebimbangan Nomura terhadap kestabilan politik kerajaan dan menyebutnya “salah letak dan keterlaluan”.
Kenyataan menteri kewangan itu dibuat selepas dilaporkan bank Jepun Nomura menurunkan saham Malaysia kepada “underweight” daripada “neutral”, sambil menambah penurunan nilai kredit mungkin menyebabkan kemerosotan fiskal lagi.
“Para pakar ekonomi percaya terdapat risiko yang tinggi terhadap kemerosotan fiskal dan kemungkinan penurunan penarafan negara yang boleh mencetuskan lebih banyak aliran keluar modl,” kata bank itu dalam satu laporan.
“Daripada terlibat dalam perdebatan umum berhubung analisis defisit fiskal negara dan prospek masa depan ekonomi, pimpinan Pakatan Harapan (PH) harus membiarkan hasil pembaharuan dasarnya membuktikannya,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.
“Buat masa ini, laporan Nomura menonjolkan pelbagai kebimbangan bahawa kerajaan perlu memberi perhatian lebih teliti.”
Dalam laporan Strategi Asean yang diterbitkan pada Rabu, Nomura juga berkata defisit fiskal Malaysia dijangka meningkat kepada 3.9% daripada keluaran dalam negara kasar pada 2018 dan 3.7% pada 2019, - lebih tinggi daripada anggaran kerajaan sebanyak 3.7% dan 3.4% bagi tahun ini dan tahun lepas.
Nomura berkata tiada “pembaharuan besar yang signifikan” daripada kerajaan baru yang berpotensi membawa kepada perkembangan aktiviti ekonomi, sementara kejatuhan harga minyak beberapa bulan kebelakangan ini dan “gerakan populis” seperti penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan juga menjejaskan pendapatan Malaysia. – 12 Januari, 2019.
Berita penuh di sini
Komen