TIGA maut dan sekurang-kurangnya 23 lagi cedera, apabila sebuah bas dua tingkat melanggar platform di sebuah perhentian di Ottawa, pada waktu puncak tengah hari semalam.
Beberapa imej menunjukkan bahagian atas bas itu terkopak dari arah depan, manakala anggota bomba yang menggunakan tangga berusaha membantu mangsa yang terperangkap.
Pada masa sama, 25 ambulans bersiap sedia dalam keadaan cuaca sejuk untuk membawa mangsa yang cedera ke hospital.
Media tempatan memetik beberapa saksi melaporkan, bas OC Transpo Route 269 itu membelok secara tiba-tiba, sebelum melanggar bas yang sedang berhenti di platform di stesen Westboro, barat pusat bandar.
Ketua Polis Charles Bordeleau berkata kejadian itu menyebabkan beberapa penumpang terperangkap pada bahagian tempat duduk atas, sebelum berjaya dikeluarkan anggota penyelamat.
Bordeleau berkata pemandu bas berkenaan ditahan di lokasi kejadian dan akan disoal siasat bagi mengenal pasti punca insiden berkenaan.
Datuk Bandar Ottawa Jim Watson pada sidang media mengesahkan tiga maut, iaitu dua penumpang bas terbabit, dan seorang mangsa yang berada di platform, manakala 23 lagi cedera, termasuk 14 daripadanya yang dilaporkan kritikal. – AFP, 12 September, 2019.
Komen