Kayveas tak jadi bertanding Cameron Highlands


Chan Kok Leong Noel Achariam Christopher Rabin

Presiden MyPPP, M Kayveas turut hadir semasa pencalonan PRK Cameron Highlands hari ini. Bagaimanapun, beliau mengumumkan menarik diri untuk bertanding. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Januari, 2019.

M KAYVEAS, yang mendakwa dirinya presiden MyPPP, menarik diri daripada bertanding pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada hari pencalonan, enam hari selepas mengumumkan partinya sebulat suara mendukung beliau sebagai calon.

Kayveas hari ini mengumumkan sokongan penuh kepada calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran daripada DAP dan akan berkempen untuk beliau dengan agresif dan terbuka.

“Mereka boleh harap pada kami untuk dapatkan undi. Cameron Highlands perlukan PH untuk dipulihkan.

“Namanya saja sudah jelas. Pakatan Harapan. Inilah yang diperlukan untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN),” katanya di pusat penamaan calon.

Menurut Kayveas, beliau membatalkan hasrat bertanding kerana tidak mahu jadi pengacau.

“Saya mahu biar Pakatan dan BN bertanding satu lawan satu. Kalau saya bertanding, saya mungkin jadi penentu dan parti putuskan tidak perlu,” katanya.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan dan penyokong yang mengiringi calon daripada DAP bagi PRK Cameron Highlands hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Januari, 2019.

Jelas Kayveas, walaupun lama menjadi komponen BN, beliau kini mendukung PH kerana merasakan sudah terlalu lama diketepikan oleh BN.

“Saya terima apabila mereka (BN) tidak benarkan saya bertanding pada 2013 tetapi pada 2018 mereka buat sekali lagi,” katanya.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Kayveas sangat berharap dicalonkan mewakili BN bertanding di Cameron Highlands. BN bagaimanapun menetapkan kerusi itu ditandingi wakil MIC.

Beberapa hari selepas PRU14, Kayveas mengumumkan MyPPP keluar BN.

PRK pada 26 Januari ini diadakan selepas mahkamah pilihan raya membatalkan keputusan PRU14 selepas mengesahkan calon BN, C Sivarraajh menang kerana rasuah.

Pada PRU14, Sivarraajh menang mengalahkan Manogaran dengan majoriti 10,307 undi.

Manogaran kemudian memfailkan petisyen memohon perisytiharan mahkamah keputusan itu terbatal kerana Sivarraajh melanggar Akta Kesalatan Pilihan Raya 1954.

Penyokong Barisan Nasional yang hadir semasa penamaan calon bagi PRK Cameron Highlands pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Januari, 2019.

Mahkamah pada 30 November lalu mengisytiharkan kerusi Parlimen Cameron Highlands kosong.

Selepas penamaan calon ditutup, empat calon mendaftar untuk bertanding. Selain Manogaran yang mewakili PH, BN meletakkan calon Ramli Mohd Noor, seorang bekas polis yang juga Orang Asli. Dua calon bebas turut mengemukakan pencalonan mereka hari ini. – 12 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen