BEKAS duta Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Nikki Haley dan anak perempuan Presiden Donald Trump, Ivanka antara calon yang bakal menggantikan Presiden Bank Dunia Jim Yong-kim.
Isnin lalu, Yong-kim mengumumkan akan memendekkan tempoh perkhidmatannya sebagai presiden bank itu, lebih awal tiga tahun sebelum penggal keduanya tamat.
Selain Trump dan Haley, yang meletakkan jawatan sebagai duta AS ke PBB pada bulan lalu, calon lain ialah Setiausaha Rendah Perbendaharaan (Hal Ehwal Antarabangsa) David Malpass dan Ketua Agensi Pembangunan Antarabangsa AS Mark Green.
Pada 2017, Ivanka berjaya membantu memperoleh dana Bank Dunia sebanyak AS1 bilion (RM4.09 bilion) yang disokong Arab Saudi bagi mempromosi program keusahawanan dalam kalangan wanita.
Sementara itu, Jabatan Perbendaharaan ketika dihubungi semalam, enggan mengulas lanjut mengenai calon yang berpotensi mengisi kekosongan jawatan itu.
Jurucakapnya berkata jabatan itu sudah menerima beberapa cadangan yang sesuai untuk jawatan berkenaan.
“Kami sudah memulakan proses penilaian dalaman bagi calon dari AS. Kami akan bekerjasama dengan anggota pengelola untuk memilih ketua baharu,” katanya. – AFP, 12 Januari, 2019.
Komen