SEORANG bekas paderi Katolik yang mengaku bersalah melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Pennsylvania, dijatuhi hukuman penjara 14 tahun – paderi kedua dipenjarakan selepas pendedahan laporan juri agung di seluruh negeri itu.
David Poulson, 65, yang berkhidmat sebagai paderi selama empat dekad di Diocese of Erie – menyerahkan rayuan bersalah pada Oktober selepas dituduh melakukan serangan seksual dan cubaan serangan seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 15 tahun pada tahun 2000.
“Poulson menyerang salah seorang mangsanya lebih 20 kali di kawasan gereja,” kata Peguam Negara Josh Shapiro kepada wartawan, menurut kenyataan dari pejabatnya.
“Dia paksa mangsa membuat pengakuan dan mengaku penderaan itu – kepada Poulson.”
Pertuduhan khusus terhadap Poulson ialah rasuah terhadap kanak-kanak bawah umur dan membahayakan kebajikan kanak-kanak.
Hukuman penjara terhadapnya antara dua tahun setengah dan 14 tahun.
Paderi itu yang hanya digantung tugas pada 2018, lapan tahun selepas gereja mengetahui tentang tuduhan terhadapnya – turut menyerang kanak-kanak lelaki yang sama dan berulang kali cuba menyerang mangsa lain di sebuah kabin memburu.
Poulson dinamakan dalam laporan juri agung Pennsylvania yang dikeluarkan pada Ogos, mendedahkan tuduhan terhadap lebih 300 paderi dan mengenal pasti lebih 1,000 mangsa penderaan seksual kanak-kanak.
Dalam kebanyakan kes, penderaan itu ditutup oleh Gereja Katolik selama berdekad.
Pada 2010, ketika kali pertama gereja mengetahui tuduhan terhadap Poulson, beliau mengakui kepada biskop Donald Trautman bahawa beliau “terangsang dengan kanak-kanak lelaki”, menurut pejabat peguam negara.
Tetapi, Trautman yang bersara pada 2012, hanya memindahkannya ke kariah lain. – AFP, 12 Januari, 2019.
Komen