PRK Cameron pertembungan BN-PH, bukan individu, kata calon DAP


Christopher Rabin

Calon PH dari DAP, M Manogaran berdepan tugas sukar memenangi PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Januari, 2019.

WALAUPUN Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan dengan meletakkan calon Orang Asli pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran yakin perebutan kerusi Parlimen itu antara BN dan PH, bukannya individu.

Ahli politik DAP itu mengakui bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Noor daripada masyarakat Orang Asli, akan menyukarkan laluan PH untuk menawan kawasan Parlimen itu yang mempunyai ramai pengundi Orang Asli.

Malah BN tidak pernah kalah kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Namun Manogaran percaya pengundi akan melihat PRK itu sebagai pertembungan antara “Malaysia Lama” di bawah rejim BN dan “Malaysia Baharu” yang memperjuangkan anti rasuah.

“PRK ini perjuangan menentang rasuah dan menjadi peluang terbaik buat rakyat tempatan untuk bangkit memerangi gejala itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Persaingan adalah sukar kerana Ramli akan menjadi lawan yang kuat, tetapi saya juga ingin mengatakan ini bukan perebutan antara dua individu, sebaliknya persaingan antara PH dan BN.”

Ramli Mohd Noor (kanan) merupakan calon BN untuk bertanding di PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Penasihat DAP Lim Kit Siang juga baru-baru ini mengakui pencalonan Ramli memberi cabaran sukar kepada PH.

Terdapat kira-kira 22% pengundi Orang Asli di kawasan Parlimen Cameron Highlands dan kebanyakan mereka tinggal di kawasan pendalaman.

PRK pada 26 Januari itu diadakan selepas mahkamah khas pilihan raya membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 apabila mendapati berlaku unsur rasuah melibatkan calon BN C. Sivarraajh yang memenangi kerusi itu.

Manogaran berterima kasih kepada pemimpin Orang Asli kerana bangkit menentang rasuah apabila sanggup memberi keterangan di mahkamah terhadap Sivarraajh, yang merupakan naib presiden MIC.

Beliau didapati merasuah pengundi Orang Asli untuk mendapatkan sokongan pada pilihan raya umum Mei tahun lalu. – 12 Januari, 2019.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen