KEHILANGAN orang yang disayangi secara mendadak mungkin sukar untuk diterima oleh keluarga mangsa bunuh, tetapi itulah yang dilalui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong dan keluarganya hampir 40 tahun lalu.
Pada forum “The Death Penalty Conference:Considering Perspectives”, Liew menceritakan bagaimana sepupunya yang ketika itu berusia 17 tahun dibunuh di Sabah. Beliau yang juga sebaya dengan sepupunya semasa itu, sedang melanjutkan pelajaran di United Kingdom. Keluarga memaklumkan beliau mengenai kejadian sedih itu tiga hari kemudian.
“Mayat sepupu saya ditemui dalam sungai, dan pada masa itu umurnya baru 17 tahun.
“Apabila saya terima berita, saya juga merasakan apa yang keluarga mangsa bunuh rasakan… marah, sedih dan rasa kosong,” kata beliau ketika berucap pada forum yang diadakan di Monash University, Subang Jaya hari ini.
Tambah menteri itu, keluarganya sehingga kini tidak tahu siapakah pembunuh tersebut dan selepas hampir empat dekad, mereka mengambil keputusan untuk membuka lembaran baru.
“Walau apa yang kita lalui, kita perlu memaafkan.
“Ini bukan satu perkara yang mudah terutamanya bagi keluarga mangsa. Tetapi ini juga penting bagi mereka yang telah disabitkan dengan hukuman mati, diberi peluang untuk hidup, meskipun hakikatnya terpaksa menghabiskan sisa hidup dalam penjara,” kata beliau.
Kisah ini beliau kongsikan bersama untuk merayu keluarga mangsa bunuh yang menentang usaha Putrajaya mahu memansuhkan hukuman mati. Mereka persoalkan mengapa pula pembunuh harus diberi makan dan minum serta dijaga di dalam penjara.
Liew berucap di hadapan kira-kira 30 pelajar yang menghadiri persidangan anjuran The Malaysian Coalition Against the Death Penalty (MCADP) hari ini. Hadir sama ialah Menteri Industri Utama, Teresa Kok. – 11 Januari, 2019.
Komen