LAUNGAN “Daulat Tuanku” mengakhiri mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang dipengerusikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sebuah hotel di Kuala Lumpur petang tadi.
Mesyuarat lebih tiga jam itu diadakan ketika Majlis Raja-Raja sedang dalam proses melantik Yang di-Pertuan Agong yang baharu selepas Sultan Muhammad V letak jawatan, Ahad lalu.
Mesyuarat itu jadi perhatian ketika ada laporan Tengku Abdullah akan diangkat sebagai Sultan Pahang menggantikan ayahandanya yang gering.
Sejurus meninggalkan bilik mesyuarat, Tengku Abdullah mengadakan perbincangan dengan adindanya Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah di bilik berasingan.
Isteri Tengku Abdullah, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang menanti di luar dilihat beberapa kali mengesat air mata.
Bercakap kepada wartawan, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Sallehuddin Ishak enggan mendedahkan agenda mesyuarat petang tadi sebaliknya meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang, petang esok.
“Apa-apa keputusan hari ini akan diumumkan esok di Istana Abu Bakar, Pekan jam 3 petang,” katanya ringkas kepada pemberita selepas selesai mesyuarat.
“Saya tidak boleh kata (mesyuarat hari ini) mengenai apa, tetapi semuanya akan dimaklumkan pada sidang media itu,” tambahnya.
Mesyuarat di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu bermula 4 petang dan berakhir 7.30 malam.
Sementara itu Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang, Tengku Shahariah Sultan Ahmad ketika diminta mengulas hasil mesyuarat hanya mengatakan “tiada kenyataan media, hanya mesyuarat keluarga”.
Antara ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang dilihat hadir untuk mesyuarat termasuk Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, beberapa exco kerajaan negeri dan mantan Perdana Menteri Najib Razak.
Najib adalah Orang Kaya Indera Shahbandar, seorang daripada kenamaan dalam kalangan Orang Besar Berempat Pahang.
Mengikut tradisi giliran, jawatan Yang di-Pertuan Agong selepas Kelantan adalah Pahang diikuti Johor dan Perak, namun keputusan pemilihannya akan ditentukan oleh Majlis Raja-Raja.
Bagaimanapun Sultan Ahmad Shah dilaporkan sedang gering dan Tengku Abdullah boleh ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI sekiranya baginda diangkat sebagai Sultan Pahang.
Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini. – 11 Januari, 2019.
Komen