BAHRAIN hari ini menolak gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya membebaskan aktivis terkenal, Nabeel Rajab.
Kerajaan negara itu menegaskan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas Rajab adalah bagi tulisan “palsu” di Twitter yang tidak termasuk dalam kebebasan bersuara.
Kenyataan itu dikeluarkan seminggu selepas pejabat hak asasi manusia PBB menggesa Bahrain membebaskan aktivis itu dengan segera.
Rajab yang memainkan peranan penting dalam tunjuk perasaan anti kerajaan pimpinan Syiah pada 2011, gagal dalam rayuannya pada 31 Disember lalu bagi kesalahan menyelar kerajaan.
Mahkamah Agung Bahrain menetapkan hukuman penjara lima tahun ke atas Rajab dikekalkan.
Kerajaan menuduh Rajab menulis beberapa kenyataan palsu di Twitter termasuk dakwaan bahawa beratus banduan dalam penjara Jaw mengalami patah tulang manakala beratus lagi mengalami pendarahan di kepala akibat diseksa. – AFP, 11 Januari, 2019.
Komen