PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah petang ini mempengerusikan mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Mesyuarat diadakan ketika Majlis Raja-Raja sedang dalam proses melantik Yang di-Pertuan Agong yang baharu selepas Sultan Muhammad V letak jawatan, Ahad lalu.
“Doakan yang terbaik,” kata Tengku Abdullah sebelum memasuki bilik mesyuarat.
Antara ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang dilihat hadir untuk mesyuarat termasuk Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, beberapa exco kerajaan negeri dan mantan Perdana Menteri Najib Razak.
Najib adalah Orang Kaya Indera Shahbandar, seorang daripada kenamaan dalam kalangan Orang Besar Berempat Pahang.
Anggota Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang termasuk kerabat bergelar dan tidak bergelar, pembesar istana, menteri besar, setiausaha kerajaan negeri, penasihat undang-undang negeri, pegawai kewangan negeri, mufti, wakil penghulu serta wakil penerima darjah kebesaran Sultan.
Mesyuarat petang ini diadakan sejurus selesai majlis penyerahan suratcara pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Salleuddin Ishak, yang minggu lalu dilantik ke jawatan itu dalam rombakan besar-besaran pimpinan kanan pentadbiran awam di Putrajaya.
Mengikut tradisi giliran, jawatan Yang di-Pertuan Agong selepas Kelantan adalah Pahang diikuti Johor dan Perak, namun keputusan pemilihannya akan ditentukan oleh Majlis Raja-Raja.
Bagaimanapun Sultan Ahmad Shah dilaporkan sedang gering dan Tengku Abdullah boleh ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI sekiranya baginda diangkat sebagai Sultan Pahang.
Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini. – 11 Januari, 2019.
Komen