145 kanak-kanak di China diberi vaksin polio tamat tempoh


Pada tahun lepas, China menjalankan pembersihan menyeluruh ke atas industri vaksin di negara itu ekoran timbul laporan bahawa pengeluar utama vaksin rabies China memalsukan rekod. Awal minggu ini, 145 kanak-kanak diberi vaksin polio sudah tamat tempoh. – Gambar fail EPA, 11 Januari, 2019.

SEKURANG-kurangnya 145 kanak-kanak di timur China diberi vaksin polio yang sudah tamat tempoh, lapor media tempatan.

Menurut pengumuman yang dikeluarkan oleh kerajaan tempatan Jinhu, tiga pegawai kesihatan di wilayah Jiangsu telah dipecat susulan kes yang dikesan pada awal minggu ini.

Semalam, stesen televisyen  tempatan, CCTV  melaporkan sepasang suami isteri pada awal minggu ini mendapati vaksin polio yang tamat tempoh pada 11 Disember lalu telah diberi kepada kanak-kanak di sebuah klinik kesihatan kerajaan.

CCTV yang memetik sumber kerajaan berkata, selepas disiasat, kerajaan tempatan mendapati seramai 145 kanak-kanak telah diberi vaksin antara 11 Disember lepas dan 7 Januari.

Menurut pegawai kesihatan, walaupun keberkesanan vaksin yang sudah tamat tempoh berkurang, namun ia tidak akan menjejaskan kesihatan.

Laman sesawang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata mereka yang diberi vaksin yang sudah tamat tempoh tidak akan jatuh sakit tetapi mungkin tidak imun sepenuhnya.

Ada ibu bapa melaporkan anak mereka muntah dan mengantuk, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia merupakan tindak balas alahan biasa terhadap vaksin yang sudah tamat tempoh, lapor CCTV.

Selain tiga pegawai kesihatan daerah Jinhu dipecat, lima lagi kakitangan tempatan kini disiasat.

Kerajaan mengarahkan vaksin tersebut disita dan semua jabatan berkaitan kesihatan diperiksa.

Vaksin polio berkenaan diberi oleh kerajaan untuk kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun. 

Tahun lepas, China menjalankan pembersihan menyeluruh ke atas industri vaksin di negara itu ekoran timbul laporan bahawa pengeluar utama vaksin rabies China memalsukan rekod. – AFP, 11 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen