BADAN kehakiman tidak akan bertolak ansur dengan rasuah atau campur tangan politik dan akan terus berpegang kepada kebebasannya, kata Ketua Hakim Negara Richard Malanjum.
“Pengisytiharan kita ialah menjunjung kedaulatan undang-undang dan sifar toleran terhadap apa juga bentuk rasuah dan campur tangan kehakiman, sama ada dalaman atau luaran, politik atau sebaliknya, dalam kita melaksanakan tugas kehakiman.
“Kita alu-alukan maklumat sebarang insiden seperti itu. Saya akan pastikan tindakan tegas bakal diambil mengikut undang-undang,” katanya pada majlis pelancaran tahun perundangan hari ini.
Turut hadir Peguam Negara Tommy Thomas, Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Maarop, Ketua Hakim Malaya Zaharah Ibrahim, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Sarawak David Wong serta bekas ketua hakim Zaki Azmi.
Malanjum berkata penghakiman di mahkamah bukan bermaksud untuk mencerminkan pandangan popular.
“Kami sedar salah satu sebab kenapa masyarakat mempunyai tanggapan negatif terhadap mahkamah ialah keputusan kami kadangkala tidak senada dengan perasaan orang ramai atau kehendak majoriti.
“Respons kami terhadap keadaan ini ialah kami minta pemahaman kepada fungsi mahkamah. Mahkamah kami mahkamah undang-undang dan bukan kumpulan orang ramai.”
Malanjum berkata badan kehakiman juga sedang melalui proses pembaharuan.
“Ada banyak desakan untuk perubahan. Paling penting perubahan ini dicadangkan oleh Institusi Jawatankuasa Pembaharuan.
“Oleh itu kita melaksanakan pembaharuan sebanyak mungkin sejak beberapa bulan lalu,” katanya. – 11 Januari, 2019.
Baca berita penuh di sini.
Komen