SALJI tebal yang melanda sebahagian Austria memaksa beberapa stesen meluncur salji atau ski ditutup, dan menyebabkan penghantaran garam bagi mencairkan salji tertangguh, sekali gus menyukarkan usaha membersihkan jalan raya.
Malah, salji setebal sehingga tiga meter turut menenggelamkan beberapa kawasan di barat dan tengah negara itu, mengakibatkan terputus hubungan.
“Apa yang boleh kami katakan, secara statistiknya jumlah salji yang banyak di kawasan melebihi 800 meter altitud hanya berlaku sekali dalam tempoh 30 hingga 100 tahun,” kata jurucakap Institusi Meteorologi dan Geodinamik Pusat Austria Alexander Radlherr.
Sementara itu, jurucakap syarikat pengeluar garam, Salinen Austria berkata walaupun berlaku peningkatan permintaan terhadap garam, tetapi mereka berdepan dengan masalah penghantaran, kerana penutupan beberapa jalan.
Pada masa sama, kira-kira 500 kakitangan tidak dapat ke ibu pejabat syarikat itu, yang terletak di daerah pergunungan, Salzkammergut.
Stesen meluncur salji di beberapa wilayah Styria, Upper dan Lower Austria juga terpaksa ditutup, berikutan bimbang berlaku salji runtuh, pokok tumbang atau bekalan elektrik terputus.
Sebahagian kawasan di Austria diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas tujuh peluncur salji dan pendaki terbunuh sejak Sabtu lalu, manakala dua lagi pendaki dilaporkan masih hilang.
Ketika ini, ratusan anggota tentera, bomba, kakitangan awam dan sukarelawan sedang berusaha membersihkan jalan raya dan bumbung yang ditenggelami salji tebal. – AFP, 11 Januari, 2019.
Komen