SYARIKAT awam dan swasta Portugal bersaiz sederhana dan besar diwajibkan mengambil antara satu dan dua peratus pekerja daripada golongan orang kurang upaya (OKU), lapor agensi berita China Xinhua memetik satu penerbitan undang-undang pada Khamis.
Menurut undang-undang baharu itu, yang mewujudkan sistem kuota pekerjaan bagi golongan kurang upaya dengan tahap keupayaan bersamaan atau melebihi 60%, semua syarikat wajib mematuhi kuota tersebut mulai 1 Februari.
Perusahaan sederhana dengan tenaga kerja antara 75 dan 100 orang hendaklah menggaji sekurang-kurangnya 1% pekerja kurang upaya manakala perusahaan besar dengan lebih 100 pekerja perlu dikehendaki menggaji sekurang-kurangnya 2%.
Bagi mematuhi undang-undang baharu itu, satu tempoh peralihan selama lima tahun dibenarkan bagi syarikat bersaiz sederhana dan empat tahun bagi syarikat besar.
Portugal telah berada di landasan pemulihan ekonomi perlahan sejak ia keluar daripada program penyelamatan bernilai 78 bilion Euro yang ditandatanganinya dengan peminjam antarabangsa pada Mei 2014 dan kadar pengangguran di negara itu menurun dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Undang-undang baharu itu dilihat sebagai satu kaedah mempromosi peluang pekerjaan bagi golongan kurang upaya dalam situasi semasa. – Bernama, 11 Januari, 2019.
Komen