MAJLIS Pertahanan Tinggi Lubnan pada Khamis mengumumkan akan mengemukakan satu aduan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan pencabulan Israel ke atas wilayahnya, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan di laman sesawang kepresidenan Lubnan.
Tentera Lubnan akan diberi arahan yang perlu bagi menangani kesemua pencabulan itu manakala Lubnan dijangka mempertingkat hubungan diplomatiknya untuk menjelaskan pendirian negara tersebut berhubung pencerobohan Israel, menurut Majlis Pertahanan Tinggi.
Keputusan ini dibuat dalam satu mesyuarat majlis itu di Istana Baabda, yang menghimpunkan para pegawai tinggi keselamatan dan ahli politik terkemuka negara tersebut bagi membincangkan perkembangan di selatan sempadan Lubnan.
Mesyuarat itu diadakan selepas Israel meletakkan sejumlah 25 blok simen di sepanjang sempadan berhampiran Kampung Adaisseh, dengan enam daripadanya di lokasi yang dipertikai.
Majlis Pertahanan Tinggi memberi jaminan bahawa Lubnan komited untuk mempertahan setiap inci tanah dan sumber airnya sambil bersedia menyempurnakan rundingan bagi menyelesaikan pertikaian sempadan. – Bernama, 11 Januari, 2019.
Komen