SPRM tubuh jawatankuasa khas siasat isu jual beli tanah di Jempol


Muzliza Mustafa

SPRM akan tubuh jawatankuasa khas bagi menyiasat isu jual beli tanah di Ladang Gatco, Jempol yang melibatkan peneroka Kampung Serampang Indah dan Thamarai Holdings Sdn Bhd, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad.

Dzulkifli berkata, jawatankuasa itu akan meneliti semua dokumen yang disertakan dalam aduan yang dibuat Badan Bertindak Peneroka Gatco, namun akan mengambil masa kerana ia berlaku 40 tahun lalu.

“Kami akan bertindak jika terdapat unsur-unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight hari ini.

Beliau hari ini bertemu dan mendengar sendiri keluhan penduduk kampung susulan aduan yang dibuat badan bertindak penduduk kepada SPRM pada Rabu lepas. Hadir sama Pengerusi MIC Jelebu R. Ravi yang juga Pengerusi MIC Cawangan Kampung Serampang Indah.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata walaupun isu Ladang Gatco pernah dibawa ke mahkamah atas kes sivil, perkara itu tidak menghalang siasatan SPRM yang meneliti pada aspek rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Isu status tanah itu bermula pada tahun 2006 selepas ia dijual oleh Thamarai Holdings Sdn Bhd.

Tanah seluas 4,700 ekar itu pada asalnya dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) yang kemudian memajakkannya kepada The Great Alonioners Trading Corporation Berhad (Gatco) pada tahun 1977.

Gatco ditubuhkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW)  bagi tujuan skim pembangunan tanah untuk ahli-ahlinya.

Peneroka ini membayar RM7,600 sebagai deposit untuk menjelaskan plot tanah yang diperuntukkan sebagai sebahagian daripada skim pembangunan itu.

Bagaimanapun, skim ini akhirnya gagal dan tanah yang telah dicaj kepada dua institusi kewangan.

Walaupun Gatco telah dibubarkan, pelikuidasi tidak menjual tanah itu sehingga 2006 apabila satu perjanjian jual beli dimeterai antara Gatco dan Thamarai Holdings Sdn Bhd.

Seramai 140 peneroka telah menyaman Gatco dan Tamarai berhubung jualan tersebut.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan pada akhir Julai lalu mengatakan kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menghalang pembangunan tanah ladang Gatco.

Beliau berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada pihak didapati cuba menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas pembangunan projek tanaman semula getah di kawasan berkenaan seperti yang dipersetujui penduduk sebelum ini.

“Setelah banyak kali kes ini dibawa ke peringkat mahkamah sehingga Mahkamah Tinggi Persekutuan juga menolak kes ini, namun penyalahgunaan proses mahkamah tetap berlaku dengan cara menggunakan segelintir penduduk oleh pihak berkepentingan untuk menghalang kerajaan menjalankan projek penanaman semula getah,” katanya seperti dipetik oleh Bernama. – 27 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen