UNDANG-UNDANG yang menindas adalah tinggalan “zaman penjajah regresif” Malaysia dan mesti dimansuhkan oleh Pakatan Harapan (PH) jika ia komited untuk menunaikan manifesto pilihan raya, kata Badan Peguam Malaysia.
Presidennya George Varughese menyeru kerajaan baharu agar “menunjukkan komitmen penuh” untuk menghapuskan undang-undang keselamatan dengan serta-merta.
“Landskap perundangan kita tidak sepatutnya menjadi kapsul masa masa lalu penjajah kita,” katanya pada pembukaan tahun undang-undang di Putrajaya hari ini.
Hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Hakim Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas, Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya Zaharah Ibrahim, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak David Wong.
Undang-undang yang mesti dihapuskan adalah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca), dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), kata Varughese.
“Undang-undang ini sepatutnya dimansuhkan kerana undang-undang sedia ada mencukupi untuk menangani ancaman jenayah dan keganasan. Jika didapati tidak mencukupi, penyelesaiannya adalah meminda undang-undang tidak jelas atau menggubal undang-undang baharu yang mematuhi undang-undang,” katanya.
Varughese juga mengkritik undang-undang yang diluluskan tanpa perbincangan oleh kerajaan sebelumnya.
“Kami sering melihat cara undang-undang tertentu secara tergesa-gesa diluluskan di Parlimen tanpa melalui perdebatan sewajarnya atau bahkan peluang untuk mengesahkan atau menguji kualiti dan ketahanan undang-undang itu.
“Akta Berita Palsu 2018 adalah contoh undang-undang sedemikian yang dibazirkan dengan kelemahan dan menimbulkan banyak persoalan mengenai kandungan, niat dan kesannya. Kerajaan tidak boleh membuat undang-undang secara tergesa-gesa.” – 11 Januari, 2019.
Berita penuh di sini
Komen