PIHAK berkuasa Mexico menemui 21 mayat di sempadan negara itu dan Amerika Syarikat (AS) selepas insiden tembakan antara kumpulan pengedar dadah berhampiran kawasan bandar yang akan dilawati Presiden Donald Trump, hari ini.
Kebanyakan daripada mayat itu ditemui dalam keadaan terbakar teruk di bandar Miguel Aleman, kira-kira 270km dari McAllen, Texas yang dijangka dikunjungi Trump, yang dalam kempen membina tembok di sempadan Mexico-AS.
“Kami menerima laporan mengenai berlakunya kejadian tembakan semalam, membabitkan dua kumpulan penjenayah yang mengakibatkan 21 maut.
“Sebahagian daripada mereka dibakar. Tujuh kenderaan turut ditemui. Ia akibat konfrontasi antara dua kumpulan bertelagah membabitkan laluan pengedaran dadah.
“Mayat itu ditemui pasukan tentera Mexico hasil maklumat orang ramai,” kata jurucakap keselamatan negeri Tamaulipas, Luis Alberto Rodriguez kepada rangkaian berita Mexican TV, Milenio.
Tamaulipas negeri di Mexico yang mencatatkan kadar jenayah paling tinggi membabitkan kartel dadah, berikutan perebutan lokasi strategik di sempadan AS. – AFP, 11 Januari, 2019.
Komen