‘Raja jenayah’ Mexico minta ibunya diberi visa lawatan


Penyokong Joaquin El Chapo Guzman menunggu di luar mahkamah di New York, menyatakan sokongan kepada penjenayah itu yang dibicarakan atas tuduhan kes dadah. – Gambar AFP, 11 Januari, 2019.

PEGUAM kepada penjenayah Mexico Joaquin “El Chapo” Guzman berkata mereka membuat permohonan kepada kerajaan Mexico membantu mendapatkan visa kemanusiaan untuk ibunya melawatnya di penjara di Amerika Syarikat (AS).

Guzman pada masa ini sedang dibicarakan di New York, atas tuduhan mengedar 155 tan dadah jenis kokain di AS, sebagai ketua kartel Sinaloa.

“Kami mohon (menteri luar Mexico untuk membuat petisyen kepada pihak berkuasa AS) bagi mendapatkan visa kemanusiaan untuk ibu Chapo Guzman, Maria Consuelo, dua adik-beradik perempuannya Hermilda dan Bernarda,” kata salah seorang peguam Guazman, Jose Luis Gonzalez Meza.

“Ibunya kini berusia lebih 80 tahun dan kesihatannya tidak begitu baik dan mahu sangat bertemu anak lelakinya itu.”

Guzman, 61, diekstradisi ke AS pada 2017 selepas dua kali melarikan diri dari penjara di Mexico.

Beliau kini ditahan secara berasingan di penjara persekutuan New York, di mana pada masa ini hanya peguamnya dibenarkan bertemunya – terpisah dengan dinding kaca.

Peguam Guzman berkata mereka membantah ekstradisinya itu sebagai tidak sah dan hak anak guam mereka dilanggar, mendakwa berlaku penyelewengan dalam perbicaraannya.

Guzman berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan bersalah. – AFP, 11 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen