POLIS Las Vegas meminta bintang bola sepak dunia Cristiano Ronaldo menyerahkan sampel DNA bagi membantu siasatan terhadap tuduhan rogol dibuat terhadap penyerang Juventus itu.
Peguam Ronaldo, Peter Christiansen berkata waran perlu dihantar ke pihak berkuasa di Itali.
“Ronaldo sehingga kini mempertahankan apa yang berlaku di Las Vegas pada 2009 terjadi atas persetujuan bersama, jadi tidak mengejutkan jika ada DNA di situ, begitu juga polis akan membuat permintaan standard itu sebagai sebahagian daripada siasatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Seorang bekas model Amerika Syarikat Kathryn Mayorga, 34, dari Las Vegas menuduh Ronaldo dalam satu laporan difailkan tahun lalu di Nevada, merogolnya pada 13 Jun, 2009 sebelum bintang itu menyertai Real Madrid daripada Manchester United.
Ronaldo, 33, menafikan tuduhan itu dan mendapat sokongan daripada kelabnya.
Mayorga mendakwa Ronaldo merogolnya di hotel Las Vegas dan dilaporkan dibayar AS$375,000 untuk menutup mulut.
Peguam Ronaldo berkata perjanjian rahsia yang ditandatangani dengan bekas model itu bukan bermaksud “pengakuan rasa bersalah”.
Peguam Mayorga sebelum ini berkata model itu bersetuju dengan persetujuan luar mahkamah untuk mengelak namanya terdedah kepada umum, tetapi kini bersedia untuk bercakap mengenainya susulan inspirasi daripada gerakan #MeToo.
Beliau bertemu Ronaldo di kelab malam di Vegas, menurut laporannya, dan menemani bintang bola sepak itu dan beberapa orang lain di suite hotel di mana serangan itu didakwa berlaku. – AFP, 11 Januari, 2019.
Komen