Zambia tahan12 pekerja China kerana tanam kanabis


Kanabis semakin banyak ditanam di Zambia untuk tujuan kesihatan tetapi mesti dengan kebenaran Kementerian Kesihatan negara itu. – Gambar AFP, 10 Januari, 2019.

AGENSI anti-dadah Zambia hari ini menahan 12 pekerja binaan China atas dakwaan menanam kanabis tanpa permit, kata seorang pegawai tertinggi kerajaan.

Pekerja berkenaan terlibat dalam pembinaan sebuah studio untuk Perbadanan Penyiaran Kebangsaan Zambia di bandar Chipata yang terletak di Wilayah Timur.

“Penahanan mereka atas dakwaan menanam kanabis amat dikesali,” kata Setiausaha Tetap Kerajaan, Chanda Kasolo.

“Ini akan melambatkan kerja-kerja pembinaan.”

Agensi anti dadah Zambia dalam satu kenyataan berkata 12 rakyat China ditangkap pada Isnin dan 6.2 kg kanabis dirampas.

Zambia mengharamkan penggunaan kanabis untuk tujuan rekreasi. 

Bagaimanapun, kanabis semakin banyak ditanam untuk tujuan kesihatan dengan kebenaran Kementerian Kesihatan negara itu.

Jika sabit kesalahan, 12 orang rakyat China itu akan dihukum penjara lima tahun.

Sentimen anti China semakin meningkat di Zambia ekoran pemberian banyak kontrak diberi kepada Beijing terutamanya dalam sektor pembinaan dan pinjaman kerajaan dari negara itu. – AFP, 10 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen