PERDANA Menteri Sri Lanka hari ini berkata negara itu sedang bergelut untuk membayar balik hutang luar negara, sambil menyalahkan krisis politik baru-baru ini yang menjejaskan ekonomi.
Ranil Wickremesinghe berkata kerajaan beliau bergelut mengumpulkan sebanyak AS$1.9 bilion untuk membayar hutang pertama Sri Lanka berjumlah AS$2.6 bilion selewat-lewatnya pada Isnin.
Hutang luar negara Sri Lanka pada 2019 adalah sebanyak AS$5.9 bilion.
Perebutuan kuasa antara Wickremesinghe dengan Presiden Maithripala Sirisena pada hujung 2018 menyebakan negara itu hilang AS$1 bilion rizab asing.
Pada 26 Oktober tahun lepas, Sirisena memecat Wickremesinghe dan membubarkan Parlimen. Bagaimanapun, mahkamah memutuskan tindakan itu tidak mengikut perlembagaan.
Selepas 51 hari, Wickremesinghe dilantik semula sebagai perdana menteri.
Sri Lanka berharap dapat memperoleh AS$1 billion dari pasaran hutang antarabangsa, AS$500 juta dari China dan Jepun manakala lagi AS$400 juta dari Reserve Bank of India.
Wickremesinghe telah menghantar menteri kewangan Sri Lanka ke Washington untuk membincangkan semula mengenai pinjaman dengan Tabung Kewangan Antarabangsa yang digantung semasa krisis politik tercetus. – AFP, 10 Januari, 2019.
Komen