Penghinaan kepada raja-raja Melayu perlu definisi tepat, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

KERAJAAN tidak akan sewenang-wenangnya meluluskan undang-undang baharu sebagai hukuman ke atas sebarang perbuatan atau perkataan yang dianggap menghina raja-raja Melayu, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata kajian perlu dibuat terlebih dahulu untuk menentukan jenis kritikan yang dikategorikan sebagai penghinaan terhadap raja-raja Melayu.

Sebarang undang-undang baharu harus menjelas dan memperincikan apakah perkataan atau perbuatan tertentu yang boleh menyebabkan seseorang individu itu boleh dihukum.

“Saya telah nyatakan bahawa di Malaysia ini, sekarang ini kita amalkan kebebasan bersuara. Dan kebebasan bersuara ini, kalau dia bercakap dengan satu perkara yang factual (berdasarkan fakta), dia tidak boleh disalahkan.

“Sebaliknya kalau kita tutup mulut semua orang sehingga apabila jenayah berlaku pun kita tak boleh sebut, akan berlaku ketidakdilan dalam negara kita.

“Kita kena tengok definisi mana yang lebih tepat,” kata Dr Mahathir pada sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan anti rasuah di Putrajaya hari ini.

Seseorang tidak boleh dipersalahkan jika memperkatakan sesuatu berdasarkan fakta, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 10 Januari, 2019.

Terdahulu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri VK Liew berkata Putrajaya akan mencadangkan hukuman bagi kesalahan menghina raja-raja Melayu ditingkatkan melalui undang-undang baharu yang akan diperkenalkan nanti.

Katanya, hukuman sedia ada sekarang tidak memadai untuk melindungi institusi diraja daripada “fitnah tidak berasas” yang tidak bertanggungjawab.

Dr Mahathir juga berkata pihak penguatkuasaan buat masa ini tidak faham apa yang dianggap sebagai penghinaan kepada raja-raja Melayu. Atas alasan inilah mengapa perkara ini perlu diberi perhatian.

Putrajaya digesa supaya menggubal undang-undang yang mengenakan hukuman berat selepas timbul banyak penghinaan yang dilemparkan terhadap Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang diPertuan Agong pada Ahad lepas.

Setakat ini, empat orang telah dibuang kerja, digantung tugas atau meletak jawatan akibat menghina baginda.

Tiga daripada mereka ditahan polis untuk disiasat di abwah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan. Pesalah kali pertama boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – 10 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen