Jong-un 'bimbang' rundingan nuklear buntu


Presiden China Xi Jinping menerima jemputan Kim Jong-un untuk melawat Korea Utara pada waktu yang sesuai. – Gambar EPA, 10 Januari, 2019.

PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong-un “bimbang” dengan kebuntuan jalan rundingan menghentikan program senjata nuklear ketika pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping, lapor media tempatan Pyongyang, hari ini.

“Jong-un membangkitkan kebimbangan terhadap kebuntuan dalam proses memperbaiki hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara serta perbincangan program senjata nuklear,” kata pegawai KCNA kepada agensi berita.

Katanya, Jong-un menegaskan kedudukan asas untuk meneruskan resolusi aman menerusi dialog tetap tidak berubah.

Pyongyang berkata Beijing mengumumkan sokongan terhadap kedudukan Korea Utara.

“Xi Jinping berkata, beberapa isu yang dibangkitkan Korea Utara adalah tuntutan sah dan beliau bersetuju sepenuhnya kepentingan negara itu perlu diselesaikan dengan adil,” katanya.

Pegawai itu berkata Jinping menerima jemputan Jong-un untuk melawat Korea Utara pada waktu yang sesuai dan memaklumkan kepadanya perancangan itu.

Lawatan itu akan menjadi lawatan pertama Jinping ke Pyongyang sejak mengambil alih kuasa pada 2012.

China penyokong diplomatik dan rakan dagang utama Korea Utara, yang berperanan penting ketika Perang Korea pada 1950 hingga 1953. – AFP, 10 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen