Mayat tiga beranak ditemui dalam beg di Brazil


POLIS Brazil memulakan siasatan kes pembunuhan kejam sepasang suami isteri rakyat Bolivia dan anak lelaki mereka berusia 8 tahun selepas menemui bahagian tubuh semua mangsa dalam beg pakaian di pinggir Sao Paulo.

Pihak berkuasa berkata anggota badan Jesus Reynaldo Condori, 39, isterinya Irma Morante Sanizo, 38, dan anak mereka, Abner Morante Condori ditemui Selasa lalu.

Polis dalam satu kenyataan kepada laman web berita G1 memberitahu, semua anggota tubuh mangsa diletakkan dalam plastik sebelum disumbat dalam tiga beg pakaian dan ditemui di bilik air rumah keluarga itu di Itaquaquecetuba.

Pihak berkuasa sebelum itu dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima maklumat berhubung kes penculikan, susulan kehilangan keluarga berkenaan pada 23 Disember lalu.

Suspek utama kejadian adalah abang ipar salah seorang mangsa yang diupah bekerja di kedai pakaian milik keluarga terbabit.

“Pemilik rumah tempat mayat semua mangsa ditemui berkata, beliau menyewakan kediaman itu kepada seorang lelaki yang masih belum dapat dikesan sehingga kini.

“Dia suami kepada kakak salah seorang mangsa,” kata setiausaha keselamatan negeri Sao Paulo dalam satu kenyataan.

Motif pembunuhan masih belum diketahui. – AFP, 10 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen