Demokrat bantah tembok AS-Mexico, Trump tinggalkan mesyuarat


Presiden Donald Trump keluar meninggalkan mesyuarat bersama kongres Demokrat ketika perbincangan mengenai tembok sempadan AS-Mexico sedang berlangsung. – Gambar AFP, 10 Januari, 2019.

PRESIDEN Donald Trump ucap “bye-bye” dan meninggalkan rundingan yang sedang berlangsung berhubung pembiayaan tembok sempadan Amerika Syarikat (AS)-Mexico apabila lawan daripada Demokrat enggan bersetuju dengan projek terbabit.

“Membazir masa. Saya ucapkan selamat tinggal kerana tiada apa yang boleh dilakukan lagi,” kata Trump menerusi Twitter, merujuk kepada mesyuarat bersama pemimpin kanan kongres Demokrat itu.

Pemimpin kanan Demokrat dalam Senat, Chuck Schumer memberitahu wartawan, Trump menghempas meja sebelum bangun dan meninggalkan mesyuarat itu.

“Sekali lagi, kita menyaksikan aksi meradang kerana kehendaknya tidak dipersetujui,” kata Schumer.

Walaupun kedua-dua pihak mengakui mesyuarat itu berakhir secara tiba-tiba, mereka masih saling menuding jari dalam menentukan siapa yang bersalah.

Penyokong Trump dalam mesyuarat itu berkata presiden bertanya kepada pemimpin Demokrat jika mereka bersetuju membiayai projek tembok berkenaan sebagai tukaran untuk beliau mengakhiri siri penutupan kerajaan.

“Speaker Demokrat dari Dewan Perwakilan, Nancy Peloci mengangkat tangan dan berkata tidak, tidak sama sekali,” kata anggota kanan Republikan, Kevin McCarthy.

“Kami mendengar sendiri pemimpin Demokrat enggan berunding. Presiden melangkah masuk ke dalam bilik dan mengedarkan gula-gula. Saya langsung tidak dengar beliau meninggikan suara atau menghempas tangan, ” kata Naib Presiden Mike Pence. – AFP, 10 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen