Wujud perselisihan antara mufti, masyarakat berhubung pemecatan imam Perlis 


Sheridan Mahavera

Menurut pihak masjid, pemecatan 25 imam itu memberi kesan kepada aktiviti harian serta jemaah berikutan pengganti yang dilantik bukan daripada masyarakat tempatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2019

PEMECATAN mengejut 25 orang imam di Perlis baru-baru ini mendedahkan berlaku perselisihan antara pihak berkuasa negeri - yang dikawal oleh muftinya - dan segelintir umat Islam di negeri itu.

Masjid di beberapa kawasan yang kehilangan imam mereka, mengatakan Majlis Agama Islam Perlis (Maip) dan Jabatan Agama Islam Perlis (Jaip), memecat mereka kerana gagal mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh majlis pada 2011.

Garis panduan ini kata mereka kepada The Malaysian Insight, adalah tidak adil kerana ia melanggar beberapa adat tradisi umat Islam yang diamalkan di kebanyakan masjid dan surau di seluruh negeri lain di Malaysia.

Mereka mendakwa garis panduan itu dikeluarkan pada 2011 apabila Mohd Asri Zainul Abidin memulakan penggal keduanya sebagai mufti – jawatan di bawah kerajaan negeri yang memberi kuasa untuk nenetapkan hala tuju dan dasar Islam serta bagaimana ia ditadbir di negeri itu.

Menerusi posting di Facebook pada 9 Januari, Mohd Asri menafikan pemecatan mereka adalah kerana Imam melanggar garis panduan itu.

“Adakah benar Jaip memecat imam kerana mereka membaca doa qunut dan bismillah dengan kuat ketika mengimamkan solat? Atau umur mereka sudah lanjut? Atau adakah mereka menggunakan masjid sebagai alat politik? Atau mereka tidak menjalankan tugas dan hanya mengutip elaun?”

25 imam yang dipecat itu tidak diperbaharui kontrak, manakala 10 orang lagi ditukarkan ke masjid lain.

Pendakwah dan guru agama Mohd Radzi Abdul Wahab berkata, episod berkenaan tidak terkecuali kepada Perlis dan boleh diuruskan dengan lebih baik oleh pihak berkuasa dan masjid yang terlibat.

“Setiap negeri di Malaysia mempunyai peraturan bagi masjid dan surau mereka yang perlu dipatuhi. Tidak adil untuk mengatakan hanya Perlis yang mempunyai garis panduan itu,” kata Mohd Radzi yang juga merupakan bekas pengerusi Ikram Perlis, iaitu sebuah NGO Islam.

“Pihak berkuasa perlu lebih berdiplomatik dalam menangani isu ini manakala umat Islam perlu mematuhi garis panduan kerana undang-undang telah memberi kuasa kepada majlis. Mufti sendiri pun perlu mematuhi peraturan ini yang ditetapkan oleh negeri berlainan apabila beliau melawat mereka.

“Pada masa yang sama, saya sendiri tidak percaya bahawa orang harus dipaksa untuk berdoa dengan cara tertentu selagi cara-cara itu tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip utama Islam.”

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini menafikan pemecatan imam di negeri itu kerana melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Perlis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2019

Amalan harian

Sementara itu, Isha Md Akhir iaitu jurucakap masjid di Kangar yang kehilangan imam, percaya jemaah kehilangan kedua-dua pegawai itu adalah kerana garis panduan berkenaan.

Sebagai contoh, masjid dan surau di Perlis tidak boleh mengadakan tahlil atau doa untuk memperingati kematian atau mengadakan bacaan Yasin, pada malam Jumaat. Ketika solat harian, imam juga diminta agar tidak membaca bismillah dan doa qunut dengan kuat.

Amalan itu bagaimanapun umum dan diamalkan di semua masjid di seluruh Malaysia. Masjid Guar Syed Alwi yang merupakan tempat asal Isha turut mengamalkan perkara sama sejak sekian lama.

Seorang lagi jawatankuasa Masjid Guar Syes Alwi, Zainol Abidin Ahmad berkata jemaah juga mahu imam meneruskan amalan ini walaupun menyedari mereka melanggar garis panduan yang ditetapkan pihak majlis.

“Amalan ini diamalkan sejak sekian lama sebelum kehadiran mufti baharu lagi. Mereka tidak melanggar peraturan Islam jadi apa salah mereka? Apabila mufti datang (untuk penggal kedua) beliau mahu hapuskan amalan ini.”

Zainol berkata, pemecatan dua imam masjid memberi kesan kepada aktiviti harian dan pengganti yang dihantar oleh pihak majlis tidak sesuai.

“Salah seorang imam pengganti adalah dari Selangor, beliau bukan penduduk setempat dan ini agak janggal pada kami dan beliau sendiri.”

Majlis telah mengeluarkan surat pada 31 Disember lalu yang menyatakan khidmat 25 imam terlibat tidak lagi diperlukan dan mereka tidak lagi memegang jawatan ini di masjid terbabit. Ada di antara mereka ditukarkan ke masjid lain.

Seminggu selepas pemecatan itu, jemaah dari kira-kira lima buah masjid mengadakan bantahan di luar pejabat Maip dan Jaip.

Isha dan ahli jawatankuasa Masjid Guar Syed Alwi turut menghantar memorandum kepada pihak berkuasa dan Mohd Asri yang meminta keputusan itu dibatalkan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut bersuara dalam isu itu dan meminta semua pihak menerima keputusan pihak berkuasa agama dengan hato yang terbuka.

“Walapun kita tidak dapat kembali imam, amat penting mereka yang menggantikannya adalah dari dalam kalangan jemaah agar kami kenal dan boleh bekerjasama dengan baik,” kata Isha. – 10 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen