“KECEWA” perkataan pertama terlintas di minda pengundi Sipitang ketika ditanya pendapat mereka tentang wakil rakyat mereka, Yamani Hafez Musa yang hilang selama enam bulan dan baru saja mengangkat sumpah selepas beberapa kali diberi amaran daripada speaker Dewan Rakyat.
Mereka juga menyifatkan ahli Parlimen itu sebagai “keanak-anakan” dan “tidak bertanggungjawab”, dengan sesetengah daripada mereka merasakan tersilap memilih calon pada PRU14, melihat kepada pelbagai masalah dihadapi di kawasan yang kurang membangun itu.
Penjawat awam, Awang Khairuddin, 40, yang mengetahui tentang Yamani mengangkat sumpah daripada berita tempatan, berkata ahli Parlimen itu menganggap tugasnya seperti “satu permainan”.
“Saya sangat kecewa, saya mengundi seseorang yang fikir ini hanya satu mainan,” katanya kepada The Malaysian Insight yang berkunjung ke Sitipitang, selepas Yamani mengangkat sumpah pada Isnin.
“Beliau ada tanggungjawab pada kawasannya. Beliau patut datang dan minta maaf serta beri penjelasan kepada kami apa yang sudah berlaku.”
Awang berkata Yamani boleh kalah PRU14 jika tanpa sokongan kuat daripada akar umbi Umno Sabah di kerusi DUN Lumadan, di bawah Parlimen Sipitang, berhampiran sempadan daerah Lawas di Sarawak.
Sipitang ialah pintu masuk ke Brunei dan Sarawak dengan jumlah pengundi 31,882 orang, kebanyakannya Melayu, Kedayan dan Bisaya.
Yamani, anak lelaki kepada bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, kali pertama bertanding pada PRU14 dan menang kerusi itu dengan majoriti 852 undi, menentang pesaing terdekatnya daripada Parti Warisan Sabah, dalam pertandingan tiga penjuru.

Beliau “hilang” selepas menang kerusi itu, ketika kecoh drama menyelubungi bapanya, yang ketika itu sedang berlumba untuk mengangkat sumpah sebagai ketua menteri selepas keputusan pilihan raya menyebabkan dewan undangan negeri tergantung.
Musa kemudian “hilang” dan muncul di London di mana beliau menjalani rawatan.
Yamani juga kelihatan bersama Musa dalam gambar menunjukkan mereka berada di pusat rawatan dipercayai di London.
Selepas beberapa amaran daripada speaker Dewan Rakyat yang beliau perlu mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan selepas Parlimen bersidang, atau akan kehilangan kerusi itu, akhirnya Yamani mengangkat sumpah pada Isnin lalu.
Pesaingnya, Noor Hayaty Mustapha daripada Warisan berkata tindakan Yamani mengangkat sumpah sejurus sebelum berakhirnya tarikh akhir enam bulan, adalah tidak bertanggungjawab dan perlu memberi penjelasan kepada pengundi Sipitang.
“Kedudukannya ialah mandat daripada rakyat, bukan keistimewaan untuk buat apa saja dia suka,” katanya, menambah ada banyak kerja perlu dilakukan di kawasan itu.
Noor Hayaty berkata penduduk Sipitang masih mengadu tentang bekalan air dan elektrik walaupun selepas bertahun-tahun Barisan Nasional memerintah.
“Golongan belia tidak dapat cari kerja dan jika dapat pun gajinya terlalu kecil,” katanya, menambah kerja biasa di kawasan itu dibayar serendah RM20 sehari.
Noor Hayaty berkata Sipitang juga kurang kemudahan asas, dan tidak menarik untuk pelaburan, walaupun ia berpotensi sebagai agro pelancongan dan akses yang strategik ke Brunei, Sarawak dan Labuan.

Pengundi, Sabri Mahmud berkata kehilangan Yamani menunjukkan beliau ada melakukan kesalahan.
“Kalau tidak, dia tidak akan hilang sebegitu lama. Adakah dia takut untuk balik kerana pihak berkuasa akan menyiasatnya,” katanya, merujuk kepada 35 pertuduhan rasuah dikenakan terhadap Musa.
Musa didakwa pada awal November atas kesalahan menerima AS$63 juta sogokan untuk pemberian konsesi balak ketika menjadi ketua menteri.
Pemilik kedai kopi, Norsiah Abdullah berkata sudah lama sangat Sipitang terabai, tidak kiralah sama ada Yamani mengangkat sumpah atau tidak.
“Di bawah Umno dulu pun, tidak banyak yang berubah. Kami masih berdepan masalah bekalan air, terutama pada waktu petang,” katanya, berharap kerajaan Warisan akan melakukan lebih baik.
Norsiah kehilangan pelanggan sejak tempoh dua tahun lalu kerana masalah kewangan Sabah Forestry Industries Sdn Bhd, yang menutup kilang kertas berhampiran pada 2007.
“Pekerja di situ antara pelanggan utama kami dan kilang itu meneruskan ekonomi di sini. Sekarang kilang sudah tutup, tidak ada orang lagi.”
Kedai kopi Norsiah bertahan kerana ada pelanggan dari Brunei dan pekerja tapak pembinaan di sebahagian lebuh raya Pan Borneo.
“Namun, pelanggan dari Brunei bermusim. Kalau mereka datang, memang belanja besar,” katanya. – 10 Januari, 2019.
Komen