IMAN memang abstrak. Tidak mungkin dapat diukur. Justeru, mengapa kita mudah menghukumkan keimanan ke atas seseorang? Setiap insan menempuhi jalan hidup berbeza-beza. Jadi, jangan sesekali menilai keimanan orang lain berdasarkan keimanan kita.
Malangnya, segelintir agamawan mahu umat disatukan di bawah satu payung iman. Simbol keimanan diekspresi dengan ukuran ketaatan. Memakai pakaian syariah itu tanda iman, mendirikan hotel syariah, itu mercu iman. Menangkap umat tidak solat Jumaat, itu bukti teguhnya iman. Atau bersolat jemaah di dataran luas sambil mendoakan kehancuran kuffar simbil kekuatan iman. Begitukah?
Namun, itulah yang dimegahkan umat hari ini. Simbol iman dipampang agar masyarakat tahu mereka hidup di tengah-tengah orang beriman, di sesebuah negara Islam.
Ironi. Sungguh ironi apabila kita menggunakan “taat” dan “maksiat” sebagai ukuran keimanan. Segala bala bencana, syiah, LGBT, DAP, anjing, arak, ICERD, negara sekular adalah manifestasi kemaksiatan. Kufur juga ditampakkan sebagai maksiat – ingkar kepada Islam, agama-Nya.
Klasifikasi kebenaran
Iman bukan bererti taat. Kufur bukan bermakna maksiat. Iman itu bersifat dinamik, berubah-ubah. Tidak kekal, tiada siapa ‘kan tahu – sangat batiniah.
Malangnya, umat jadi benak kerana kita dipasak dengan tafsiran iman yang sempit dan sikap beragama dengan eksklusif. Iman hanya milik penganut Islam dan aliran tertentu sahaja. Jangan sesekali berkongsi keimanan dengan Islam aliran lain, apatah lagi orang kafir. Bahkan tidak ada sekelumit kemanisan iman kepada bukan Islam kecuali dia menukar agama – memeluk Islam.
Sedangkan kata iman berasal dari aman – sikap damai, selamat dan harmoni. Ibn Qayyim dalam kitab Amthal fil Quran karim menyebut kiasan amalan orang kafir umpama fatamorgana – sesekali tidak perolehi ganjaran. Khayalan sahaja. Melakukan kebaikan di dunia hanyalah sia-sia kecuali penganut agama Islam sahaja. Umat bertambah taksub apabila Tafsir Ibnu Su’ud menyebut amalan baik orang kafir sia-sia; mereka tetap ‘kan dicampak ke neraka.
Begitulah umat Melayu Islam dicorak selama ini. Kebenaran nan luas terbentang jadi sempit; disempit-sempitkan. Dalam umat Islam pun, kelompok aliran tertentu sahaja dianggap pemegang kebenaran.
Dalam kitab Al-milal wa al nihal al -firaq oleh al-Syahrastani, penulis dan penyusunnya menyandarkan kebenaran terhadap kumpulan tertentu. Berpandukan hadis yang – entah sahih, entah tidak – tiada kepastian.
Bahawa umatku akan terpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan, maka meletakkan kelompok yang tidak sealiran itu di dalam kumpulan sesat. Manakala kelompok aliran pegangan penulis jadi benar – tidak terpecah – kelompok selamat (Firqah al-Najiyah).
Ironinya tokoh intelektual yang toleran seperti Hassan bin Muhamad, Ali abi Thalib, Said bin Jubair, Muqatil Ibn Sulaiman, Abu Hanifah tiada terpapar dalam sejarah Intelektual Islam. Dipaparkan sepihak sahaja.
Sedangkan iman bukan bersifat mutlak. Apatah lagi diukur dengan ideologi dan hegemoni pengetahuan agama – yang dimaktubkan sebagai satu-satunya acuan. Dengan itu, jadilah umat jadi tertutup. Fikah dikurung dan dipaku sebagai kebenaran. Sesiapa yang tiada dalam acuan itu, tiada kebenaran buatnya.
Sesungguhnya, iman bukanlah daerah antara baik dan buruk. Iman bukan tentang solat atau tidak. Jauh sekali mentakrif keimanan dengan ukuran satu-satu aliran. Persoalan iman bukan boleh dicapai dalam lingkungan bayangan ilusi manusia.
Agama bukan manifestasi iman
Menurut Abu Hanifah, iman adalah mengenal Allah dan rasul. Beliau tidak beranggapan agama sebagai manifestasi keimanan. Malah, iman – dalam konteks itu – tidak bertambah tidak juga berkurang. Tidak saling mengungguli antara satu dengan lain.
Begitulah, tidak boleh mengkafirkan dan menyesatkan sesiapa pun akibat perbuatan dosa. Iman tidak bersatu dalam perintah dan larangan. Iman tidak bertambah dengan melakukan kewajiban agama. Juga tidak berkurang saat meninggalkan kewajiban agama. Kerana iman semata-mata keyakinan kepada Allah, kalam-Nya dan para rasul.
Menampilkan keimanan secara terbuka bukanlah syarat iman. Syarat iman adalah hati – hubungan langsung antara hamba dan Tuhan. Walau mengucapkan “aku beriman’“dan bertauhid bukan syarat ia sebahagian daripada keimanan. Iman adalah hal yang misteri. Tidak tergambar dengan perintah dan larangan.
Dalam dialog Abu Hanifah dan Umar bin Abi Uthman al- Syamzi ketika bertemu di Mekah, Umar ada bertanya, bagaimanakah pandangan Abu Hanifah terhadap orang yang menyatakan Allah mengharamkan makan babi tetapi dia tidak tahu barangkali babi yang haram dimakan itu bukanlah babi seperti yang dibayangkan. Maka Abu Hanifah jawab, orang itu mukmin.
Begitulah iman, kata Abu Hanifah. Kenal dan akui bahawa Allah dan risalah rasul-Nya. Maka andaian (makan babi) tidak termasuk dalam wilayah mengakui kebenaran ilahi kerana tidak mengerti tentang itu – tidak termasuk dalam hakikat iman.
Bukanlah bermakna seseorang tidak perlu tahu halal-haram bahkan wajib diketahui. Namun mengetahui tuntutan itu tidak termasuk dalam hakikat iman. Tidak bertambah pun keimanannya walau seseorang itu mengetahui hal tersebut sekalipun.
Menurut Imam Ali bin Abi Thalib, iblis menyembah Tuhan selama enam ribu tahun hatta makhluk paling hampir dengan Tuhan. Bukan sahaja meyakini kewujudan Tuhan, malah saling berdialog dengan Tuhan. Ia beribadat dan taat ajaran-Nya. Namun ketika diperintah supaya sujud kepada Nabi Adam, iblis berasakan Adam yang patut sujud kepadanya. (15:39)
Secara lahiriah iblis melakukan maksiat – membantah Tuhan. Persoalan mengapa iblis yang ribuan tahun menyembah Tuhan, hanya kerana satu maksiat terus dilaknat hingga kiamat? Sebenarnya bukanlah maksiat itu punca malapetaka tetapi kerosakan iman batinnya. Iblis menolak kebenaran, angkuh dan berasa paling benar.
Justeru keimanan tidak mudah ditafsir ikut kepala kita, sesuka hati kita atau ikut sedap mulut ustaz itu ini atau mana-mana kelompok aliran agama. Iman itu sesungguhnya rahsia Allah. – 10 Januari, 2019
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
Komen