China sokong pertemuan kedua Kim, Trump 


Presiden China Xi Jinping bersama pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pada satu pertemuan di Beijing sebelum ini. Xi Jinping menyatakan sokongan Beijing terhadap Kim dalam sidang kemuncak kedua dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. – Gambar EPA, 10 Januari, 2019

PRESIDEN China Xi Jinping memberitahu Kim Jong Un yang Beijing menyokong pemimpin Korea Utara itu dalam sidang kemuncak kedua dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, lapor media negara itu pada Khamis. 

Dua rakan sekutu itu yang dijangka akan mengadakan pertemuan dua hari di Beijing minggu ini, dilihat sebagai sesi mengatur strategi ketika Kim bersedia untuk sidang kemuncak keduanya dengan Trump untuk rundingan denuklearisasi. 

“Penyelesaian politik berhubung isu di semenanjung (Korea) merupakan peluang bersejarah yang jarang berlaku,” kata Xi ketika lawatan Kim ke Beijing, menurut laporan agensi berita Xinhua. 

China “menyokong sidang kemuncak antara Korea Utara dan AS, serta menyokong pihak yang menyelesaikan pertikaian menerusi dialog,” kata Xi. 

Perbincangan antara Amerika Syarikat dan Korea Utara terhadap senjata nuklear Pyongyang terhenti sejak sidang kemuncak pertama Kim dan Trump di Singapura pada Jun di mana mereka mengeluarkan deklarasi yang kurang jelas tentang denuklearisasi.

AS menegaskan bahawa sekatan PBB mesti dilakukan sehingga Korea Utara menyerahkan senjatanya, sementara Pyongyang mahu mereka redakan keadaan. China juga mahukan sekatan itu dilonggarkan. – AFP, 10 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen