SEORANG bekas menteri Israel yang ditangkap enam bulan lalu mengaku bersalah menjadi pengintip bagi pihak Iran lapor Xinhua pada hari Rabu.
Gonen Segev membuat pengakuan itu di Mahkamah Daerah Baitulmaqdis dan menandatangani tawaran rayuan, di mana beliau akan menjalani hukuman penjara 11 tahun.
Bekas menteri berusia 62 tahun itu mengaku mengintip dan memberikan maklumat kepada musuh.
Menurut perkhidmatan keselamatan Shin Bet Israel, Segev telah bertemu beberapa kali dengan pegawai perisikan Iran sejak enam tahun lalu bagi menyalurkan maklumat. Mei lalu beliau diekstradisi dari Guinea dan ditangkap di Israel.
Segev, bekas anggota parlimen dari parti sayap kanan Tzomet, berkhidmat sebagai menteri tenaga dan infrastruktur Israel antara 1994 dan 1996.
Selepas menyertai politik, beliau beralih ke bidang perniagaan. Pada 2004 beliau ditahan kerana cuba menyeludup ribuan pil ecstasy dari Amsterdam ke Israel.
Beliau mengaku melakukan perbuatan itu dan dihukum penjara lima tahun. – Bernama, 9 Januari, 2019.
Komen