Rumah ketua, timbalan agensi anti rasuah Indonesia diancam bom


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) adalah antara agensi kerajaan paling digeruni di negara itu kerana ketegasannya membanteras rasuah. – Gambar KPK, 9 Januari, 2019.

RUMAH dua pegawai tertinggi agensi anti rasuah Indonesia di diancam serangan bom ekoran penemuan bom buatan sendiri yang diletakkan di luar rumah mereka, lapor media republik itu.

Polis mengesahkan penemuan bahan yang diduga bom terbungkus dalam beg plastik hitam di luar rumah Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) Agus Rahardjo di Bekasi, kira-kira 20 kilometer dari Jakarta, lebih kurang 5.30 pagi waktu tempatan.

Beg plastik hitam mengandungi bahan seperti bom dengan peledak, kabel, paku dan paip dijumpai oleh pengawal keselamatan, yang kemudiannya membuat laporan kepada polis.

Pada masa lebih kurang sama, polis mengesahkan menemui molotov cocktail di luar rumah Timbalan Ketua Suruhanjaya Laode M Syarif di Kalibata, Jakarta Selatan.

Susulan ancaman bom itu, polis meningkatkan kawalan di kediaman pemimpin kanan agensi anti rasuah Indonesia, lapor Jakarta Post.

Seorang jurucakap polis dipetik berkata kejadian sedang disiasat oleh unit anti keganasan Densus 88. – 9 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen